Sekilas
- Fasha Sandha mempertahankan hos Kilauan Emas Selebriti, Raja Azura dan memuji rancangan itu sebagai sangat menghiburkan.
- Fasha menegaskan Kak Engku adalah pengacara legenda yang berpengalaman dan Maria sebagai penyeri rancangan yang menambah warna dalam program tersebut.
- Fasha percaya peserta Kilauan Emas Selebriti akan mendapat lebih banyak peluang selepas program tamat dan mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat.
Pelakon, Fasha Sandha tampil mempertahankan hos Kilauan Emas Selebriti (KES), Raja Azura dan juga bintang program berkenaan, Maria Tunku Sabri daripada kritikan segelintir pihak.
Menurut Fasha, dia bersama keluarga drama Kasih Yang Terkorban (KYT) berkesempatan menyaksikan program berkenaan secara langsung dan menganggap KES sebagai sebuah rancangan yang cukup menghiburkan.
Malah Fasha berpendapat, penonton seharusnya menikmati rancangan itu tanpa terlalu mencari kelemahan pengacara mahupun barisan bintang yang terlibat.
“Saya berada di Kilauan Emas Selebriti. Sebagai penonton bersama team ‘Kasih Yang Terkorban’ (KYT). Jujur cakap rancangan tu best sangat.
“Saya dan keluarga KYT terhibur, Sarah anak kita genz pun ketawa dan terhibur. Memang hebat ya. Semalam rasanya ada orang question pasal Kak Engku, dan Kak Maria.
“Jujur cakap. Ini adalah hiburan. Cuma penerimaan kita bagaimana? Kalau jenis yang nak cari salah je, memang jumpa lah,” katanya.

Dalam hantaran yang sama, Fasha juga menyifatkan Kak Engku sebagai seorang pengacara yang sangat berpengalaman dan legenda yang tidak wajar dipersoalkan kebolehannya dalam mengendalikan program secara langsung.
“Cuba hiburkan hati, kak Engku tu bukan sekali dua jadi pengacara ya. Dia legend.
“Bukan mudah nak mengacara live. Pada saya, dia memang hebat ya. Kak Maria pula adalah penyeri rancangan, sama macam Odda dan Cik B, penyeri.
“Dalam realiti show sebegitu kena ada penyeri. Barulah ada warna ya. Untuk show ni kami keluarga ‘Kasih Yang Terkorban’ bagi 5 stars,” tegasnya.

Dalam pada itu, Fasha juga percaya KES mampu membuka lebih banyak peluang kepada para bintang selepas tamatnya program berkenaan.
“Percayalah, habis sahaja rancangan ni, peserta-peserta ni akan menjadi lebih besar, banyak peluang pekerjaan dan show (acara hiburan, dinner ke wedding ke) membuka ruang juga untuk mereka teruskan berkarya.
“Tahniah semua yang terlibat. Love you! Good job Astro,” tulisnya.
Terdahulu, gandingan Raja Azura dan Keanu sebagai pengacara menjadi perhatian ramai apabila rata-rata netizen memberikan pelbagai reaksi, sama ada positif mahupun berbentuk kritikan.
Keanu kemudiannya mengakui masih dalam proses membina keserasian bersama Raja Azura dan memohon maaf sekiranya gaya pengaraannya disifatkan sebagai kurang menyerlah.