Sekilas
- Black mengakui pernah bergaduh dengan sahabat baiknya, Hazama, sehingga isteri mereka perlu menjadi orang tengah, namun perselisihan itu mengajar mereka erti persahabatan.
- Walaupun sering digandingkan dalam persembahan, Black menegaskan mereka bukan satu pakej dan masing-masing mempunyai pengurus serta harga berbeza.
- Black dan Hazama akan menjayakan Suka Showcase @ Sea dengan pelayaran ke Phuket pada 20 Disember, bersama Shila Amzah dalam siri persembahan berasingan.
Penyanyi Black mengakui hubungannya dengan sahabat baik, Hazama tidak selalu indah apabila mereka juga pernah bergaduh sehingga isteri masing-masing terpaksa menjadi orang tengah.
Menurut Black, perselisihan itu menjadi antara pengalaman yang banyak mengajarnya mengenai erti persahabatan.
“Kami pernah bergaduh dan isteri masing-masing jadi orang tengah. Tapi bergaduh benda yang pentinglah, bukan benda remeh dan perkara itu ajar saya mengenai persahabatan.
“Bukan bergaduh sampai bertumbuk, cuma kami berdiam dan tak bercakap. Tapi sampai hari ini kami okey, Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Suka Showcase bersama Hazama dan Black di Hotel Royal Signature, baru-baru ini.
Kerap dilihat digandingkan dalam pelbagai persembahan, Black berkata dia sememangnya selesa bekerjasama dengan Hazama kerana mereka sudah lama mengenali satu sama lain, namun menegaskan mereka bukanlah satu ‘pakej’.
“Kami bukan dibayar dengan harga pakej sebab pengurus pun lain. Harga Hazama dengan saya tak sama.
“Tapi bila bersama Hazama, paling seronok sebab mudah nak kerja. Untuk konsert, saya suka dengan dia sebab dia bukan sekadar menyanyi, dia akan beri idea dan tegur apa yang saya kurang,” ujarnya.
Black berkata persahabatan mereka terjalin sejak sebelum Hazama dikenali sebagai penyanyi popular, malah penyanyi itu pernah menjadi penyanyi latar untuknya termasuk menerusi lagu Drama King.
“Saya kenal dia sebelum dia jadi Hazama yang sekarang. Dulu dia ‘backup singer’ saya.
“Saya tahu isi hati dia, cara dia berfikir dan keikhlasan dia berkawan. Kami berkawan sejak bujang, sampailah masing-masing berkahwin. Kawan rapat saya dalam industri antaranya Hazama dan Tomok,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Black dan Hazama bakal menjayakan Suka Showcase @ Sea menerusi pelayaran dua hari satu malam ke Phuket yang berlepas dari Port Klang pada 20 Disember depan.
Pelayaran tersebut turut menjadi peluang buat mereka bekerja sambil bercuti bersama, manakala Suka Showcase @ Sea turut menampilkan Shila Amzah dalam siri persembahan berasingan.