Pasangan selebriti, Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana dilihat hadir ke perkarangan Mahkamah Rendah Syariah, Petaling dipercayai berhubung prosiding melibatkan rumah tangga mereka pada pagi Khamis.
Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin yang tiba di perkarangan mahkamah sekitar jam 8.40 pagi dilihat enggan mengulas panjang sebaliknya meminta memohon doa orang ramai agar segala urusan dipermudah.
“Insya-Allah semua okay, Doa yang baik-baik.
“Saya okay, selamat hari raya,” kongsi Yusuf.
Sementara itu, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil yang tiba lima minit kemudian sambil ditemani pelakon, Datin Seri Paduka Umie Aida turut memilih pendekatan yang sama.
“Tiada apa yang nak dikongsi.
“Saya pun tak tahu proses harini. Doakan yang baik-baik ya, insya-Allah,” kongsi Zizi.
Dalam masa yang sama, Umie Aida turut meminta orang ramai menitipkan doa yang baik buat pasangan itu.
“Insya-Allah, semoga dipermudahkan kedua belah pihak,” luah Umie.
Sebelum ini, timbulnya spekulasi mengenai rumah tangga mereka yang didakwa berantakan selepas dilihat menyambut perayaan Aidilfitri secara berasingan.
Untuk rekod, Yusuf dan Zizi mendirikan rumah tangga pada September 2021. Sehingga kini, pasangan itu belum dikurniakan cahaya mata.