Sekilas
- Elliza Razak kini hidup sebagai ibu tunggal kepada dua anak dan melakukan pelbagai kerja seperti mengacara, menyanyi, dan berniaga untuk mencari rezeki.
- Dia menghadapi tekanan dan rasa cemas setiap hari kerana komitmen kewangan seperti bayaran sewa rumah dan kereta.
- Elliza sudah kehilangan ibu bapa dan seorang abang, menjadikan dia dan anak-anaknya satu-satunya keluarga yang ada sekarang.
Menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal kepada dua orang anak bukan mudah buat penyanyi dan juga bekas bintang Akademi Fantasi 3, Elliza Razak.
Demi mencari rezeki halal buat anak, Elliza berkata dia tidak kisah melakukan pelbagai pekerjaan dalam satu masa termasuk menjadi pengacara majlis, menyanyi dan berniaga.
“Sampai sekarang saya masih ‘struggle’. Sebab itu tiba-tiba saya menjadi hos untuk acara ini. Apa sahaja yang boleh menjana pendapatan, saya buat sebab fokus saya adalah untuk membesarkan anak-anak saya.
“Pada zaman ini, saya sudah tidak kejar kemewahan dunia. Saya cuma mahu selesaikan komitmen dan memenuhi keperluan asas. Itu pun saya sudah bersyukur dan gembira.
“Kalau dapat benda-benda mewah, Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui pasa sidang media Nu Fest 2027, di Las Palmas Racquet Club, City Parking, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Elliza juga mengakui, cabaran kehidupan yang dihadapinya turut menyebabkan dia berdepan perasaan cemas hampir setiap hari, terutama apabila memikirkan komitmen seperti bayaran sewa rumah dan kereta.
“Ibarat bangun dan celik mata, jantung saya setiap hari berdebar dan saya berada dalam keadaan risau dan ketakutan.
“Saya akan terfikir, ada benda perlu bayar, ada komitmen, sewa yang perlu diselesaikan. Benda itu buat saya jadi takut dan saya alami setiap hari, ia buat saya penat. Setiap hari saya rasa macam itu.
“Tapi, saya berserah kepada Allah. Saya selalu cakap tidak mengapa, Allah ada dengan saya. Alhamdulillah, Allah sentiasa cukupkan keperluan saya.
“Sentiasa cukup, walau ada kalanya kurang, tetapi saya ingatkan diei, tidak mengapa kerana minggu depan mungkin ada rezeki lain.
“Saya memang, 100 peratus berserah pada Allah, Allah saja yang ada sekarang ini,” katanya yang turut menjual produk wangian.
Elliza berkata, dia sudah kehilangan kedua-dua ibu bapanya serta seorang abang membuatkan dia tidak lagi mempunyai tempat bergantung.
“Sekarang ini saya sudah tiada ibu bapa dan suami. Seorang abang saya juga sudah meninggal dunia, manakala kakak dan abang saya yang lain pun tidak berapa sihat dan sudah berumur.
“Jadi, hidup saya sekarang hanya saya dan anak-anak sahaja. Arwah ayah meninggal dunia pada 2022, arwah mama meninggal dunia pada 2023, dan abang saya yang meninggal dunia pada 2025,” katanya.