Sekilas
- Azira Syafinaz dari De Fam menegaskan perbandingan antara De Fam dan Dolla tidak wajar kerana kedua-duanya mempunyai identiti dan genre muzik yang berbeza.
- Azira menyatakan hubungan antara De Fam dan Dolla sangat baik dan dia sering menyokong perjalanan seni kumpulan tersebut.
- De Fam sedang merancang untuk keluarkan lagu baharu dan Azira akan kembali berlakon dalam drama terbaharu tahun hadapan.
Anggota trio kumpulan wanita De Fam, Azira Syafinaz menegaskan isu perbandingan antara kumpulannya dan Dolla tidak sepatutnya timbul kerana kedua-duanya membawa identiti serta genre muzik yang berbeza.
Menurut Azira, budaya membanding-bandingkan artis sudah lama berlaku dalam industri, namun ia tidak wajar dijadikan alasan untuk mencetuskan persaingan kurang sihat.
“Dari dulu lagi memang ada orang nak bandingkan.
“Tapi bagi saya, kenapa perlu compare? Industri kita perlukan lebih ramai anak muda, lebih banyak variasi dan lebih banyak kumpulan berbeza.
“Genre mereka lain, identiti mereka lain. Identiti kami pun berbeza. Jadi bagi saya, memang tak ada apa yang nak dibandingkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azira turut menegaskan hubungan De Fam dan Dolla sangat baik, malah dirinya sendiri sering menyokong perjalanan seni kumpulan tersebut.
“Saya selalu support mereka. Mereka macam adik-adik saya. Saya suka muzik mereka, siap ada simpan lagu-lagu mereka.
“Tapi nak buat macam mana, memang lumrah seorang artis untuk dibandingkan dengan artis lain. Apa yang kami boleh buat hanyalah kekalkan identiti De Fam dan keluarkan karya yang sesuai dengan kami,” jelasnya.
Azira turut berkongsi, De Fam kini dalam perancangan untuk muncul dengan lagu baharu, selain turut memaklumkan dirinya bakal kembali ke set penggambaran dengan drama terbaharu tahun hadapan.