Sekilas
- Isu kewujudan 'coach cerai' yang memberi bimbingan berkaitan perceraian menjadi perbincangan hangat di media sosial.
- Cef selebriti Datuk Fazley Yaakob dan pengacara Amin Idris menyuarakan kekeliruan dan persoalan etika mengenai peranan coach cerai dalam urusan rumah tangga orang lain.
- Kegusaran timbul apabila pihak luar didakwa memberi nasihat perceraian kepada pasangan yang masih sah berkahwin tanpa kebenaran suami atau isteri.
Isu kewujudan individu yang digelar sebagai 'coach cerai' terus mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna di media sosial.
Tidak terkecuali, cef selebriti Datuk Fazley Yaakob yang tampil menyuarakan pandangannya secara terbuka dan berkongsi kekeliruan mengenai konsep berkenaan selepas melihat kesannya terhadap individu yang terlibat.
“Saya tak berapa faham perihal coach cerai, tapi rasanya keadaan jadi makin parah bila kena training dengan coach ini. Ke saya sorang yang rasa macam itu? Maaf awal-awal kalau saya yang salah fikir,” tulisnya dalam satu hantaran di Threads.
Pandangan Fazley itu turut mendapat perhatian pengacara dan pendakwah bebas, Amin Idris, yang mempersoalkan dari sudut etika serta batas peranan individu terbabit dalam urusan rumah tangga orang lain.
“Saya tak pernah ulas tentang isu rumah tangga orang. Tapi siapa coach cerai ini? Boleh ke dia beri ‘nasihat’ kepada seorang wanita yang masih berstatus isteri tanpa izin suaminya? Ada nombor contact coach cerai ini?” tulis Amin.

Terdahulu, wujud kegusaran khalayak terhadap kewujudan pihak luar yang didakwa memberi bimbingan atau nasihat berkaitan perceraian, khususnya apabila melibatkan pasangan yang masih terikat dengan perkahwinan sah.
Isu 'coach cerai' ini sebelum ini tular di media sosial apabila timbul dakwaan wujud pihak tertentu yang menawarkan bimbingan emosi atau strategi menghadapi konflik rumah tangga, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kesahihan, niat serta kesan jangka panjang terhadap institusi keluarga.