Skip to main content

Hiburan

Konsert Exists Premium Live @ PJ Tangguh ke Tarikh 20 Dis Demi Kualiti Terbaik

Exists

Konsert Exists Premium Live @ PJ yang dijadual berlangsung pada 4 Oktober ini ditunda kepada tarikh baharu iaitu 20 Disember 2025.

Penundaan tersebut dicapai oleh Exists dan penganjur, Jio Buddy kerana ingin memberi kualiti terbaik buat peminat yang akan menyokong Exists Premium Live @ PJ.

Advertisement

Pemilihan tarikh baharu 20 Disember 2025 juga disifatkan relevan dengan kesepakatan yag dipersetujui kumpulan yang dianggotai Musa, Along, Ujang dan Ezad itu bersama JioBuddy.

“Dengan rendah hati kami di JioBuddy menyampaikan Exists Premium Live @ PJ telah ditunda kepada tarikh baharu iaitu 20 Disember 2025, di lokasi dan waktu yang sama.

“Penundaan tarikh baharu ini adalah kesepakatan bersama Exists supaya penganjuran ini bukan sekadar sebuah lagi persembahan pentas yang biasa ditonton tetapi sesuai dengan tajuk yang dibawa, ia mesti bersifat premium dan eksklusif,” ujar Sean Ng  dari JioBuddy.

Buat Exists, penundaan tarikh baharu tidak menjejaskan mereka malah memberi lebih banyak ruang untuk melakukan persiapan daripada segi teknikal.

Ikrar mereka sebagai pemuzik yang cukup berpengalaman adalah melahirkan erti persembahan mewah dalam konsert berskala besar terakhir mereka tahun ini.

“Tarikh 20 Disember 2025 sangat sesuai buat Exists kerana memberi kami ruang untuk memperkemaskan dan mempersiapkan semua termasuk teknikal dengan lebih baik.

“Hal ini kerana Exists sentiasa mementingkan kualiti dan menghargai setiap wang yang dikeluarkan untuk menyokong konsert kami. Kami mahu pesona mewah yang ingin disampaikan menjadi momen tidak dilupakan peminat,” ujar Along mewakili Exists.

Pemain bass, Musa pula menambah: “Exists juga mahu peminat rindu dan menjadikan Exists Premium Live @ PJ pada 20 Disember 2025 sebagai pesta menikmati persembahan premium kami.”

Selaku penganjur, JioBuddy juga tidak bimbang mengenai penundaan tarikh kerana percaya dengan piawaian Exists yang telah melahirkan banyak karya malar segar karya yang telah dicipta sejak akhir tahun 1991.

“Kami sedar Exists boleh dilihat ‘di mana-mana’ kerana permintaan terhadap kumpulan yang diasaskan di Johor Bahru ini cukup tinggi.

“Konsert mereka ‘back to back’. Secara logiknya juga, Exists akan memainkan lagu-lagu hit mereka sama seperti dalam kebanyakan persembahan atau konsert yang telah dilakukan.
 
“Bagaimanapun selaku penganjur, saya boleh memberi jaminan Exists Premium Live @ PJ akan bertarafpremium atau mewah seperti judul yang dipilih.
 
“Premium daripada segi permainan muzik, premium daripada segi audio dan premium buat peminat yang hadir kerana konsert ini bersifat lebih intim.

“Kerana itu kami bersetuju dengan tarikh baharu 20 Disember 2025 yang akan menjadi konsert penutup terbaik Exists di tahun ini,” ujar Sean Ng.

Maka untuk menikmati rasa premium yang dijanjikanpenganjur dan Exists, peminat boleh mendapatkan tiket dalam beberapa kategori. Lebih mengujakan, 100 peminat bertuah akan memiliki peluang bergambar secara peribadi bersama setiap anggota.
 
Tiket dengan kategori Premium (RM588), VIP (RM488) dan Diamond (RM368) boleh didapati menerusi www.jiotix.asia atau talian hotline +6011 1660 1122 (khusus untuk peminat dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) sahaja).

Must-Watch Video

Advertisement