Sekilas
- Jazmy Juma menerima kritikan terhadap lakonannya dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai peluang untuk memperbaiki mutu lakonan.
- Dia tidak terasa hati dengan komen negatif selagi ia disampaikan secara berhemah dan percaya ia membantu mengenal pasti kelemahan yang tidak disedari.
- Jazmy menegaskan pentingnya tidak duduk dalam zon selesa dan sentiasa terbuka menerima pandangan orang lain untuk terus berkembang.
Pelakon, Jazmy Juma mengambil pendekatan untuk menerima sebarang kritikan terhadap lakonannya dengan berlapang dada termasuk segelintir pihak yang sebagai pelakon 'kayu'.
Sebaliknya, Jazmy atau nama sebenarnya Jazmy Khan Juma Khan menganggap kritikan itu sebagai teguran yang boleh membantunya memperbaiki mutu lakonan pada masa akan datang.
“Saya rasa gembira bila ada orang komen tentang saya, lebih-lebih lagi komen tentang keburukan sebab susah orang nak berterus terang tentang keburukan kita.
“Kalau ada kawan yang kata, ‘Eh, Jaz, kau lakonan ini macam yang tak kena dengan kau’. Saya sangat bersyukur sebab tak rasa semua orang berani nak cakap benda itu.
“Melalui komen itulah saya boleh betulkan apa yang dia sampaikan. Jadi, bila ada penonton yang berikan komen sebegitu sekurang-kurangnya saya tahu yang lakonan saya tak cukup hebat dan saya perlu perbaiki serta belajar lagi,” katanya kepada Gempak.
Jazmy berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media drama lakonan terbaharunya, Dua Nyawa di Diamond Lounge, Pavillion Damansara Heights pada Rabu.
Ditanya mengenai perasaannya ketika menerima komen tersebut, Jazmy menegaskan bahawa dia tidak terasa kerana merasakan individu tersebut menyuarakan pendapat tanpa menggunakan kata-kata yang mengguris perasaannya.
“Tak (terasa). Saya bersyukur sangat sebab Allah yang gerakkan dia untuk cakap macam tu. Allah yang bagitahu pada dia untuk komen begitu supaya Jazmy sedar yang dia dekat mata, dekat mata segelintir orang dia ni tak cukup bagus lagi.
“Saya tak ambil hati dengan orang tersebut. Alhamdulillah. Kalau dia bagi tahu lakonan saya kayu apalah sangat kan. Melainkan kalau dia komen itu dengan cara yang kasar, saya sedihlah,” katanya.
Malah, Jazmy percaya komen yang ditinggalkan itu membantu dirinya mengenal pasti kelemahan yang mungkin tidak disedari selama ini.
Ujarnya, dia juga tidak mahu terlalu selesa dengan pencapaian sendiri sehingga mengabaikan pandangan orang lain, termasuk kritikan yang diberikan terhadap lakonannya.
“Saya tak boleh duduk dalam comfort zone. Kalau duduk dalam comfort zone dan abaikan komen serta kritikan daripada orang, rugilah saya.
“Kenapa saya tak nak terima apa yang orang cakap? Kenapa saya tak nak betulkan apa yang salah? Kita tak boleh nampak diri kita melainkan cermin bagi tahu kita. Jadi kalau tak ada cermin, orang lain yang perlu bagitahu kita apa yang salah dan apa yang tak betul,” tambahnya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan Jazmy membaca komen netizen yang bukan sahaja membandingkan malah turut mendakwa lakonannya lebih kayu berbanding seorang pelakon, sekali gus mencetuskan perbualan dalam kalangan pengguna media sosial.