Sekilas
- Topeng ikonik filem seram aksi Badut Gendong mengambil masa lebih dua tahun dan lebih 100 rekaan sebelum versi akhir dipilih.
- Rekaan topeng itu penting kerana ia memaparkan pelbagai ekspresi meskipun bersifat statik, mengimbangi elemen seram dan kemanusiaan.
- Filem Badut Gendong kini ditayangkan di pawagam Malaysia dan mengisahkan penghibur jalanan yang menghadapi malapetaka selepas kehilangan keluarga dan kampungnya dikuasai pemaju tamak.
Topeng ikonik yang menjadi identiti utama filem seram aksi Badut Gendong rupa-rupanya mengambil masa lebih dua tahun untuk dihasilkan dengan lebih 100 rekaan dihasilkan sebelum versi akhir dipilih.
Menurut laporan media Indonesia, pengasas Caravan Studio yang juga penerbit eksekutif filem tersebut, Chris Lie berkata, rekaan topeng itu merupakan antara elemen paling penting kerana menjadi wajah utama karakter Badut Gendong sepanjang filem.
“Mengenai rekaan karakter Badut Gendong dalam filem ini, ia sangat penting kerana merupakan karakter utama filem ini,” katanya.
Chris berkata, idea awal rekaan topeng itu mula tercetus sebaik sahaja dia membaca draf skrip yang ditulis Asaf Antariksa sebelum dikembangkan bersama pengarah, Charles Gozali.
“Dari segi bentuk tubuh, ia tidak terlalu sukar kerana karakter Badut Gendong memang diinspirasikan daripada seni tradisional.
“Namun, bahagian paling mencabar ialah menghasilkan topengnya. Kami mengambil masa lebih dua tahun semata-mata untuk mereka bentuk topeng itu,” katanya.
Menurutnya, cabaran utama adalah menghasilkan topeng yang mampu memaparkan pelbagai emosi meskipun bersifat statik.
“Kesukarannya ialah bagaimana menghasilkan topeng yang mempunyai pelbagai ekspresi. Ada masanya ia kelihatan neutral, ada masanya menyeramkan.
“Charles juga mahu topeng ini kelihatan lebih manusiawi. Jadi kami perlu pastikan elemen seram dan sisi kemanusiaannya seimbang,” ujarnya.
Tambah Chris, sepanjang tempoh dua tahun itu, pasukan produksi menghasilkan lebih 100 rekaan sebelum akhirnya memilih versi yang digunakan dalam filem.
“Daripada proses itu, mungkin lebih 100 pilihan telah dihasilkan. Akhirnya kami kembali kepada konsep yang lebih tradisional, selari dengan tema filem dan seni persembahan yang dibawakan oleh watak Darso.
“Daripada situlah lahirnya topeng yang digunakan sekarang,” katanya.
Untuk rekod, Badut Gendong mengisahkan Darso lakonan Marthino Lio, seorang penghibur jalanan yang hilang kewarasan selepas isterinya, Darsi bersama bayi dalam kandungan maut dibunuh sekumpulan samseng.
Ketika pulang ke kampung halaman, Darso mendapati kampungnya dikuasai pemaju yang tamak, manakala penduduk pula berdepan malapetaka selepas seorang bomoh membangkitkan sumpahan dan entiti jahat sehingga mencetuskan pembunuhan berdarah.
Filem arahan Charles Gozali itu turut dibintangi Clara Bernadeth, Dayinta Melira, Iskak Khivano, Totos Rasiti, Akbar Kobar, Vonny Anggraini dan Jose Rizal Manua.
Dalam masa sama, filem ini merupakan terbitan MAGMA Entertainment, Komet Productions, Legacy Pictures, Skop Productions, Enotech, Astro Shaw, Applause, Virtuelines Entertainment, VMS Studio, Caravan Studio dan Alunan.
Sumber: medcom.id
Badut Gendong kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.