Skip to main content

Hiburan

Lebih 2 Dekad Sokong Seni Tempatan, Krishen Jit Fund Salurkan RM783,000 Menerusi 103 Geran

Lebih 2 Dekad Sokong Seni Tempatan, Krishen Jit Fund Salurkan RM783,000 Menerusi 103 Geran

Sekilas

  • Krishen Jit Fund terus menyokong penggiat seni tempatan dengan memperuntukkan RM61,000 kepada tujuh penerima geran bagi tahun 2026.
  • Sejak 2006, dana ini telah menyalurkan sebanyak 103 geran berjumlah RM783,000 untuk membantu projek seni kreatif di Malaysia.
  • Dana ini ditadbir oleh Five Arts Centre dan disokong oleh Astro serta Creador Foundation, meliputi pelbagai bidang seni seperti muzik, tarian, teater, filem, dan seni visual.
Advertisement

Dana sokongan seni, Krishen Jit Fund terus komited memperkasa penggiat seni tempatan apabila memasuki tahun ke-21 penganjurannya dengan peruntukan geran berjumlah RM61,000 kepada tujuh penerima bagi tahun 2026.

Pencapaian itu mencerminkan kesinambungan usaha dana berkenaan dalam menyokong kreativiti serta pembangunan seni di Malaysia, hasil sokongan penaja yang terus memberikan kepercayaan sepanjang lebih dua dekad.

Advertisement

Sejak diperkenalkan pada 2006 hingga 2025, Krishen Jit Fund telah menyalurkan sebanyak 103 geran dengan jumlah keseluruhan RM783,000 kepada penggiat seni yang memerlukan bantuan kewangan untuk merealisasikan projek masing-masing.

Bagi tahun ini, sebanyak tujuh geran berjumlah RM61,000 akan diberikan kepada penerima terpilih bagi menyokong pelbagai inisiatif dan projek dalam bidang seni.

Untuk rekod, Krishen Jit ASTRO Fund diperkenalkan oleh Astro bersama Five Arts Centre pada 2006 sebagai penghormatan kepada Allahyarham Dato’ Krishen Jit.

Advertisement

Dana tersebut diwujudkan bagi menyediakan bantuan kewangan kepada penggiat seni yang layak untuk meneruskan projek serta menghasilkan karya dalam pelbagai cabang seni.

Pada 2019, dana berkenaan menerima sokongan baharu daripada SK Chambers sebelum namanya ditukar kepada Krishen Jit Fund, disokong oleh Astro dan SK Chambers.

Bagaimanapun, pada 2020, Creador Foundation mengambil alih peranan SK Chambers sebagai penyokong dana, sekali gus menjadikan ia dikenali sebagai Krishen Jit Fund yang disokong oleh Astro dan Creador Foundation sehingga kini.

Penubuhan dana ini turut membawa semangat serta legasi pemikiran seni Krishen Jit yang sentiasa meraikan kreativiti asli rakyat Malaysia menerusi pendekatan yang pelbagai dan bersifat alternatif.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Krishen Jit dikenali menerusi amalan teater yang merentasi pelbagai disiplin, budaya dan bahasa, selain menggabungkan elemen eksperimental dalam penghasilan karya.

Pendekatan beliau turut menghubungkan dunia akademik dengan amalan seni, tradisi dengan budaya popular kontemporari, serta karya arus perdana dengan suara kelompok yang kurang mendapat perhatian.

Menerusi pendekatan tersebut, Krishen Jit menggalakkan penggiat seni dan penonton untuk menilai identiti Malaysia yang sentiasa berkembang, selain mencerminkan kehidupan serta masyarakat menerusi karya kreatif.

Semangat inilah yang terus menjadi asas kepada Krishen Jit Fund dalam menggalakkan dan menyokong penghasilan karya kreatif di Malaysia.

Pengumuman mengenai penubuhan dana tersebut dibuat pada 28 April 2006 menerusi acara Utih…Celebrating Krishen, yang dianjurkan bagi memperingati ulang tahun pertama pemergian Allahyarham. Dana berkenaan dilancarkan oleh Astro pada acara tersebut.

Bagi pemilihan penerima geran tahun 2026, panel penilai terdiri daripada Tuan Haji Saifulkhairi bin Ahmad, Pengarah Bahagian Pemajuan Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia; Jolyn Gasper, Senior AVP, Communications & Sustainability, Astro; serta Maha Subramaniam, Pengarah Creador Foundation.

Turut menganggotai panel ialah Iefiz Alaudin, pendidik dan penggiat seni dari ASWARA dan Main Theatre; Lim Ying Xian, Senior Manager, Programmes & Partnerships, GMBB; serta Ravi Navaratnam, Senior Advisor Corporate Strategy, Minconsult Sdn. Bhd. merangkap ahli Five Arts Centre.

Untuk makluman, Krishen Jit Fund ditadbir dan diuruskan oleh Five Arts Centre. Geran yang disediakan boleh dimanfaatkan bagi pelbagai tujuan termasuk latihan, bengkel, program penempatan atau residensi, penerbitan eksperimental, penulisan serta penghasilan karya baharu.

Skop sokongan dana ini merangkumi pelbagai bidang seni seperti muzik, tarian, teater, filem, seni visual dan seni persembahan.

Menerusi sokongan berterusan Astro dan Creador Foundation, Krishen Jit Fund diharap dapat terus membuka ruang kepada penggiat seni tempatan untuk meneroka idea baharu, menghasilkan karya kreatif serta memperkaya landskap seni dan budaya Malaysia.

Anda mungkin berminat dengan

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

Must Watch Video

Advertisement