Anggota kumpulan Stray Kids, Lee Know sekali lagi menunjukkan keprihatinannya terhadap nasib golongan yang memerlukan apabila menyumbangkan RM100,000 (KRW100 juta) bagi membantu mangsa banjir dahsyat di Nepal.
Menurut agensi JYP Entertainment, sumbangan tersebut disalurkan kepada badan bantuan dan pembangunan antarabangsa, World Vision, bagi menyokong usaha bantuan kecemasan serta kelangsungan hidup kanak-kanak dan keluarga yang terjejas akibat bencana berkenaan, lapor AllKPop.
Menerusi agensinya, Lee Know berharap sumbangan tersebut dapat memberikan sedikit kekuatan kepada mereka yang sedang melalui detik sukar, selain mendoakan agar semua mangsa dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin.
Dana berkenaan akan digunakan untuk operasi bantuan kecemasan termasuk penyediaan makanan dan sokongan nutrisi, tempat perlindungan sementara serta bekalan air bersih dan kemudahan sanitasi kepada penduduk yang terjejas.
“Saya berharap sokongan yang dihulurkan dapat memberikan sedikit kekuatan kepada mereka yang sedang melalui waktu sukar.
“Saya benar-benar berharap agar mereka yang terjejas akibat banjir, termasuk semua pihak yang sedang bertungkus-lumus menjalankan misi bantuan di lapangan, dapat kembali menjalani kehidupan harian dengan aman dan tenteram secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Buat peminat, ini bukan berita baharu mengenai sikap murah hati dan prihatin Lee Know. Bintang berusia 27 tahun itu sememangnya bukan nama asing dalam aktiviti kebajikan apabila mula menaja kanak-kanak di luar negara menerusi World Vision sejak 2014.
Malah pada 2024, dia turut menyumbangkan RM100,000 bagi membantu kanak-kanak yang berdepan masalah kekurangan makanan di negara-negara kurang membangun.