Selepas penyanyi Abby Abadi mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat tekstil baru-baru ini, pelakon Lana Nodin turut berdepan nasib sama apabila ditipu oleh individu yang sama.
Menerusi perkongsian di Instagram, Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin, 46, meluahkan rasa kecewa apabila pasangan suami isteri tersebut didakwa gagal menyiapkan tempahan tudung walaupun bayaran telah dibuat sejak Januari lalu.
Advertisement
Lebih mengejutkan, penipuan tersebut difahamkan bukan hanya melibatkan dirinya dan Abby, malah turut menjerat ramai mangsa lain termasuk dari luar negara.
“Ini muka laki bini penipu scammer besar. Dulu Abby Abadi terkena, rupa-rupanya dengan aku pun sama.
“Bayar tempahan tudung sejak Januari, sampai sekarang barang tak sampai. Modus operandi mereka sama, ambil duit deposit, janji siapkan design, tapi hasilnya tiada,” katanya.
Jelas pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu lagi, pasangan terbabit kini dipercayai menghilangkan diri selepas kes penipuan mereka mula tular.
“Ramai yang dah terkena sampai ke Brunei. Nama si isteri Ila, dan sekarang semua akaun media sosial mereka sudah dipadam, kedai di Semenyih dan Bangi pun hilang dari radar,” ujarnya.
Lana turut memberi amaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa seterusnya selain menyeru mereka yang mempunyai maklumat mengenai pasangan berkenaan tampil membantu.
“Kalau ada sesiapa yang tahu di mana mereka berada, tolong maklumkan kepada saya. Saya akan cari sampai jumpa,” tegasnya.
Terdahulu, Abby Abadi turut mendakwa syarikat sama gagal menyiapkan tempahan tudung bagi perniagaan anaknya, Marrisa Dania Hakim, biarpun diberi tempoh hanya dua minggu.
Selepas lebih dua bulan, produk yang dijanjikan masih belum diterima.