Penyanyi, Linda Rafar meluahkan rasa sebak apabila terkenang memori bersama arwah anak keduanya, Rezaimen Keiflin yang meninggal dunia 11 tahun lalu.
Linda berkongsi luahan hatinya itu menerusi hantaran terbaharu di akaun Threads miliknya pada Khamis.
Advertisement
Video pendek itu merakamkan arwah anaknya sedang membaca surah Yassin ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Bismillahimasyaallah… Ketika di bilik ICU, sempat baca Yassin.
“11 tahun lalu seorang anak syurga bernama Rezaimen Keiflin bin Azlinda sangat di kenali setelah pergi dalam kalangan rakyat Malaysia,” tulisnya.
Menurutnya lagi, pemergian Rezaimen atau lebih dikenali sebagai Memen ketika itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya dan keluarga, malah turut menyentuh hati rakyat Malaysia yang mengikuti kisah perjuangan arwah.
“Nama disebut setiap hari di bibir ibu ibu yang masih ada anak ketika itu. Kamatiannya yang sangat dicemburui oleh semua kawan-kawan serta ahli keluarga.
“Kematian tidak menunggu siapa dan di mana. Buat baik dengan sesiapa sahaja walaupun orang itu berniat jahat terhadap kita,” coretnya.

Untuk rekod, Memen meninggal dunia pada Julai 2014 akibat ketumbuhan kronik dalam perut.
Rezaril dan Rezaimen merupakan anak hasil perkahwinan Linda dengan bekas pelumba kereta, Keifli Othman.
Sumber: Threads @lindarafar