Sekilas
- Nur Sarah Alisya, anak kepada arwah pelakon Lydia Ibtisam, berkongsi ucapan penuh kasih sayang dan penghargaan buat ibunya di TikTok.
- Alisya meluahkan rasa kehilangan yang mendalam serta berjanji untuk terus kuat dan membanggakan arwah ibunya.
- Lydia Ibtisam meninggal dunia akibat komplikasi penyakit autoimun dan jangkitan kuman yang menjejaskan fungsi organ dalamannya.
Anak kepada pelakon, Allahyarham Lydia Ibtisam iaitu Nur Sarah Alisya menyorot perhatian apabila menitipkan ucapan menyentuh hati buat arwah ibunya menerusi satu hantaran di TikTok.
Menerusi perkongsian dibuat, Alisya yang memuat naik beberapa foto kenangan bersama arwah menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat ibunya itu atas segala pengorbanan, kasih sayang dan didikan yang diberikan sepanjang hayatnya.
“Mama, saya sayang Mama lebih daripada apa yang mampu digambarkan dengan kata-kata. Terima kasih atas setiap pengorbanan, setiap pelukan, setiap nasihat dan setiap detik Mama mencurahkan kasih sayang kepada saya.
“Mama adalah inspirasi terbesar dalam hidup saya dan saya tidak rasa ada sesiapa yang mampu menggantikan tempat Mama di hati saya.
“Terima kasih kerana mengajar saya begitu banyak perkara dalam hidup untuk sentiasa berbuat baik, kekal kuat dan tidak pernah berputus asa. Siapa diri saya hari ini adalah kerana Mama,” luahnya.
Dalam masa yang sama, Alisya mengakui dia tidak pernah terbayang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada insan yang paling disayanginya itu seawal ini.
Namun berjanji akan terus kuat dan membanggakan arwah satu hari nanti.
“I never imagined I would have to say goodbye this soon. My heart hurts so much, but I promise I’ll carry everything you taught me wherever I go.
“I hope I can make you proud, just like you’ve always made me proud to call you my mama.
“I miss you so much, and I will love you forever,” kongsinya.
Di akhir perkongsian, Alisya mendoakan agar roh ibunya itu dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Terdahulu, Lydia Ibtisam dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di ibu kota pada Khamis.
Sebelumnya, penyanyi yang juga rakan baik kepada arwah, Elliza Razak memohon orang ramai mendoakan kesihatan Lydia yang ketika itu berada dalam keadaan kritikal akibat komplikasi penyakit autoimun dan jangkitan kuman sehingga menjejaskan fungsi organ dalamannya.
Elliza turut berkongsi Lydia telah beberapa kali menerima rawatan di hospital sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot.
Sumber: TikTok