Sekilas
- Pelakon Lydia Ibtisam, dikenali melalui drama Impian Illyana, dilaporkan meninggal dunia selepas berada dalam keadaan kritikal.
- Berita pemergian Lydia dikongsikan oleh pelakon Mimi Ernida dan penyanyi Elliza Razak di media sosial.
- Lydia mengalami komplikasi penyakit autoimun dan jangkitan kuman yang menjejaskan fungsi organ dalamannya sebelum meninggal dunia.
Hanya beberapa jam selepas berita mengenai keadaan kesihatan Lydia Ibtisam kritikal menjadi perhatian, pelakon yang dikenali menerusi drama Impian Illyana dilaporkan meninggal dunia.
Berita pemergian Allahyarham dikongsikan oleh pelakon Mimi Ernida menerusi satu hantaran di Threads yang memaklumkan Lydia telah menghembuskan nafas terakhir
“Assalammualaikum... Nur Ibtisam Bt Abdul Wahab (Lydia Ibtisam) baru sahaja menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi. Alfatihah,” kongsinya.
Penyanyi Elliza Razak juga berkongsi berita sedih itu menerusi Instastory miliknya.
Sebelum ini Elliza yang juga rakan baik, memohon orang ramai mendoakan kesihatan Lydia yang ketika itu berada dalam keadaan kritikal akibat komplikasi penyakit autoimun dan jangkitan kuman sehingga menjejaskan fungsi organ dalamannya.
Elliza turut berkongsi Lydia telah beberapa kali menerima rawatan di hospital sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot.