Skip to main content

Hiburan

Mahkamah Lulus Permohonan Pelaksaan Penghakiman Berkaitan Nafkah Raja Azura Terhadap Bekas Suami - “Usaha Jejaki Responden Akan Diteruskan”

fvdfdf

Sekilas

  • Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam meluluskan permohonan Raja Azura untuk melaksanakan perintah nafkah anak dan nafkah idah terhadap bekas suaminya, Adzmin Osman.
  • Peguam Raja Azura akan memfailkan saman bagi menuntut tunggakan nafkah dan menjejaki Adzmin yang masih belum dapat dikesan.
  • Raja Azura juga merancang membuat permohonan melalui iklan untuk memanggil Adzmin hadir ke mahkamah selepas usaha sebelum ini tidak berjaya.

Permohonan pelakon dan pengacara popular, Raja Azura terhadap pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah yang difailkan terhadap bekas suami, Adzmin Osman telah diluluskan Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada Isnin.

Menurut peguam Syarie yang mewakili Raja Azura iaitu Mohammad Amirul Hanizan, permohonan yang diluluskan Hakim Syarie, Tuan Salehan Yatim itu membabitkan pelaksanaan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 2010 berkaitan nafkah anak serta nafkah idah yang masih gagal dilaksanakan Adzmin.

“Hari ini adalah tarikh keputusan bagi permohonan yang dikemukakan oleh pemohon untuk memulakan pelaksanaan perintah berkaitan nafkah anak dan nafkah idah.

“Alhamdulillah, keputusan diterima adalah positif apabila Hakim meluluskan kebenaran kepada pemohon untuk memulakan tindakan pelaksanaan penghakiman, iaitu saman terhadap penghutang penghakiman bagi menuntut tunggakan nafkah daripada pihak responden,” katanya kepada Gempak.

Menurut Amirul, kebenaran mahkamah itu perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil terhadap pihak responden.

Hakim Syarie juga berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Raja Azura yang mesra disapa Kak Engku sepanjang prosiding berlangsung.

“Hakim juga berpuas hati dengan permohonan yang dikemukakan serta memberikan nasihat secara umum kepada semua pihak agar perintah nafkah yang telah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan. Sekiranya perintah tersebut tidak dipatuhi, proses tuntutan akan menjadi lebih panjang dan menyukarkan semua pihak.

“Hakim menyatakan kepuasan terhadap keterangan yang diberikan, termasuk penjelasan daripada pemohon sendiri serta kerja-kerja yang telah dilaksanakan oleh pihak kami,” katanya.

Amirul berkongsi perkara tersebut usai prosiding permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Isnin.

Berkongsi mengenai langkah seterusnya yang bakal diambil, pihaknya akan memfailkan satu saman meminta responden untuk hadir ke mahkamah bagi memberikan penjelasan berhubung kegagalan melaksanakan perintah nafkah serta menyatakan kemampuan pembayaran.

“Setakat ini, responden masih belum dapat dikesan, namun usaha akan diteruskan bagi menjejaki beliau dan memastikan saman tersebut dapat disampaikan,” katanya.

Sementara itu, Raja Azura memaklumkan bahawa satu lagi permohonan melalui iklan akan dibuat selepas usahanya sebelum ini tidak membuahkan hasil

“Kita buat permohonan melalui iklan untuk dia hadir ke mahkamah, tetapi mungkin dia tidak mahu jumpa saya atau mungkin ada sebab lain, saya pun tidak tahu. Apa yang kita minta hanyalah kehadirannya untuk mengakui bahawa perintah nafkah itu tidak dilaksanakan, namun pada tarikh ditetapkan pun dia tidak hadir.

“Peguam saya memohon kebenaran daripada hakim supaya saya diberikan ‘lesen’ untuk membuat tuntutan ini. Alhamdulillah, walaupun banyak pertanyaan dikemukakan oleh Yang Arif, saya dapat menjawab dengan tenang dan bersyukur keputusan memihak kepada saya,” katanya.

Pada 10 September lalu, Raja Azura memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya daripada Adzmin, yang didakwa culas membayar mengikut perintah mahkamah sejak perceraian mereka 15 tahun lalu.

Raja Azura dan Adzmin, anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, mendirikan rumah tangga pada 2001 dan bercerai pada 28 September 2010.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 24; Megat Luqman Hakim Adzmin, 23; dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 21.

Anda mungkin berminat dengan

Digital LED Tasbih Counter

Digital LED Tasbih Counter

Medicube Toner Pad Set

Medicube Toner Pad Set

POP MART CRYBABY Pendant

POP MART CRYBABY Pendant

XJ Mini Magnetic GPS Tracker

XJ Mini Magnetic GPS Tracker

K12 Wireless Karaoke Speaker

K12 Wireless Karaoke Speaker

Must-Watch Video

Advertisement