Sekilas
- Najib Asaddok bersama pengasas Neutra Sdn Bhd menyumbangkan dua unit buggy kepada Akademi Ilmi bagi memudahkan urusan pengunjung majlis ilmu mingguan.
- Buggy yang disumbangkan adalah model eksport ke Amerika Syarikat, menunjukkan produk tempatan bertaraf antarabangsa boleh dimanfaatkan untuk kebajikan masyarakat.
- Go Auto Motors Group melabur RM1.5 juta untuk pembesaran fasiliti dan menjangka membuka 100 peluang pekerjaan baru sambil mengembangkan pasaran ke ASEAN dan AS.
Usahawan terkenal, Najib Asaddok bersama pengasas Neutra Sdn Bhd iaitu Datuk Wira Ilaiaraja Sagadewan dan isterinya, Datin Wira Sumitra menyumbangkan dua unit buggy kepada Akademi Ilmi yang diasaskan pendakwah bebas terkenal, Ustaz Wadi Annuar bagi membantu memudahkan urusan ribuan pengunjung yang akan menghadiri majlis ilmu dianjurkan akademi tersebut pada setiap minggu.
Sumbangan tersebut diserahkan secara terus kepada Ustaz Wadi Anuar dan turut disaksikan Pengasas serta Pengarah Eksekutif Go Auto Motors Group, Wan Ahmad Wan Omar.
Najib yang juga pengasas Momentum Iyziq Sdn Bhd merupakan antara usahawan yang tampil menyumbang kemudahan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurut Wan Ahmad, perkara itu membuktikan produk tempatan bukan sahaja mampu dibawa ke pasaran antarabangsa, malah boleh dimanfaatkan untuk tujuan kebajikan dan kemudahan masyarakat.
“Apa yang lebih istimewa, buggy yang disumbangkan itu merupakan model yang dibangunkan GVT Sdn Bhd untuk pasaran eksport ke Amerika Syarikat, sekali gus membuktikan bahawa produk bertaraf antarabangsa keluaran tempatan juga mampu dimanfaatkan untuk kebajikan masyarakat.
“Sumbangan ini mencerminkan falsafah syarikat bahawa kejayaan sesebuah organisasi bukan hanya diukur melalui pertumbuhan perniagaan, tetapi juga melalui manfaat yang mampu dikembalikan kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Go Auto Motors Group turut mengembangkan kapasiti pengeluarannya menerusi pelaburan sebanyak RM1.5 juta bagi tujuan pembesaran fasiliti.
Menurut Wan Ahmad, langkah tersebut dibuat susulan peningkatan permintaan terhadap kenderaan komersial dan penyelesaian mobiliti dan dijangka bakal membuka sekitar 100 peluang pekerjaan baharu.
“Pelaburan ini mencerminkan komitmen syarikat untuk terus membangunkan keupayaan pengeluaran tempatan serta memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.
“Pembesaran fasiliti ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk meningkatkan kapasiti, kecekapan dan keupayaan pengeluaran.
“Kami melihat potensi besar dalam segmen kenderaan komersial, termasuk kenderaan berkuasa elektrik, dan mahu memastikan kami mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menyokong permintaan pasaran,” katanya.
Selain pasaran domestik, Go Auto turut melihat potensi untuk mengembangkan pasaran ke rantau ASEAN dan AS dengan sasaran nilai eksport tahunan sebanyak RM20 juta.