Sekilas
- Ameera Khan menganggap 2025 sebagai tahun yang baik dan berterima kasih kepada mereka yang pernah menjadi sebahagian dalam hidupnya.
- Dia menghargai sokongan orang ramai tetapi berharap privasinya dihormati tanpa menuding jari kepada sesiapa mengenai apa yang berlaku dalam hidupnya.
- Ameera berharap tahun 2026 akan menjadi tahun terbaik dan mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua.
Pempengaruh Ameera Khan atau Little Miss Khan (LMK) menganggap 2025 merupakan tahun yang baik buatnya selain berterima kasih kepada orang yang pernah menjadi sebahagian daripadanya.
Menerusi perkongsian di Instastory, Ameera turut meluahkan rasa syukur dengan sebuah fasa dalam hidupnya yang sudah berakhir dalam diam.
“Tahun lalu merupakan tahun yang baik. Dan sejujurnya, saya sangat berterima kasih kepada orang-orang yang menjadi sebahagian daripadanya dan juga untuk fasa yang berakhir secara senyap-senyap.
“Kadangkala apabila sesuatu berakhir, ia tidak semestinya bermakna ia perkara yang buruk. Kadangkala ia adalah untuk lebih baik dan Alhamdulillah itulah yang berlaku kepada saya,” katanya.
Pada perkongsian yang sama, adik kepada selebriti terkenal, Neelofa ini juga menghargai setiap individu yang menghubunginya namun dia berharapkan semua orang menghormati privasinya.
“Kepada mereka yang telah menghubungi saya, saya tahu anda datang dengan penuh kasih sayang. Saya menghargai setiap seorang daripada anda.
“Tetapi apa yang saya minta untuk masa hadapan adalah rasa hormat, sama seperti rasa hormat saya berikan kepada mereka yang pernah hadir atau masih ada dalam hidup saya,” ujarnya.
Ameera turut menegaskan tiada pihak yang harus dipersalahkan selain tidak perlu menunding jari kepada mana-mana individu memandangkan apa yang berlaku dalam kehidupannya hanya mereka yang rapat dan dirinya sahaja mengetahui.
“Tiada kesalahan, tiada pihak, tiada cerita untuk dituding jari (penekanan pada ini). Apa yang ramai orang lihat, hanyalah sebahagian kecil daripada realiti saya.
“Sebenarnya, hanya mereka yang paling rapat dengan saya tahu apa yang perlu saya lalui, dan hanya saya tahu apa yang sebenarnya berlaku, hanya anda yang tahu apa yang anda lalui dan bagaimana perasaan itu.
“Saya berdoa agar tahun 2026 akan menjadi yang terbaik setakat ini. Selamat Tahun Baru semua,” katanya lagi.