Pelakon, Mira Filzah menyeru masyarakat agar lebih berhemah dalam menggunakan media sosial khususnya dalam menyampaikan pandangan dan perkongsian yang melibatkan individu lain.
Menurut Mira, filem Akad Yang Hilang bukan sekadar naskhah hiburan semata-mata sebaliknya membawa mesej mengena kesan kata-kata di alam maya terhadap mangsa serta keluarga individu terbabit.
“Kalau kita tengok secara keseluruhan, sekarang ni kita hidup dalam dunia yang kebanyakannya hanya membaca dan melihat melalui skrin. Tapi dalam filem ini, kita dapat lihat sendiri impak kata-kata itu terhadap mangsa.
“Kalau kata-kata itu benar, impaknya mungkin berbeza. Tapi bagaimana pula kalau ia satu fitnah? Kesan terhadap mangsa dan keluarga mereka sangat besar. Apa saja yang kita kongsi, sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada kehidupan orang lain. Jadi saya harap filem Akad Yang Hilang ini boleh mengajar kita untuk menjadi pengguna media sosial yang lebih berhemah,” jelasnya.
Mengulas mengenai pengalaman peribadi sebagai seorang selebriti, Mira mengakui hampir setiap artis pernah terpalit dengan isu buli siber atau berita palsu.
Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak memberi reaksi atau membalas sebarang komen negatif yang diterima.
“Saya rasa mana-mana artis atau selebriti pasti pernah melalui perkara ini. Cuma bezanya besar atau kecil sahaja.Tapi saya ambil pendekatan untuk tidak komen atau kongsikan semula, sebab kadang-kadang apa yang kita nampak itu belum tentu orang lain tahu sepenuhnya.
“Kadang-kadang ada juga orang beri kata-kata yang tak baik pada saya. Saya baca saja dan biarkan ia berlalu.Sebab kalau kita reply atau kongsikan, benda itu akan jadi lebih berleluasa, berpanjangan dan tak membawa apa-apa kesan yang baik dalam hidup kita,” ujarnya.
Dalam perkembagan lain, Mira Filzah baharu sahaja tampil dengan lakonan terbarunya menerusi filem Akad Yang Hilang bersama Syarul Ezani.
Selain Mira dan Syarul, filem terbitan Astro Shaw yang diarahkan oleh Bahri Uma Bajuri turut dibintangi Idan Aedan, Sherie Merlis dan Aleza Shadan.
Sinopsis:
Akad Yang Hilang memaparkan kisah Maryam yang ingin berkahwin dengan kekasih pilhan hatinya, Ammar. Sebagai sebahagian proses pendaftaran perkahwinan, Maryam memohon wali hakim kerana bapanya, Husni, telah meninggal dan satu-satunya adiknya, Zaki, baru berumur 17 tahun. Walau bagaimanapun, langkah yang sepatutnya mudah menjadi rumit dengan pendedahan yang mengejutkan.
Mahkamah Syariah memaklumkan perkahwinan ibu bapa Maryam tidak sah kerana fasid. Masalah Maryam itu tersebar di media sosial sehingga menjadi perbualan negatif masyarakat.
Persoalannya, bagaimana Maryam ingin meneruskan perkahwinannya, berhadapan stigma orang sekeliling dan mencari jawapan mengenai statusnya sebagai anak yang sah.