Sekilas
- Qamarul terinspirasi untuk sertai Mualim Muda 2 selepas melihat sahabat baiknya, Aiman, beraksi dalam musim pertama program itu.
- Aiman banyak memberi dorongan dan inspirasi kepada Qamarul bukan sahaja dalam pertandingan, malah dalam menuntut ilmu dan berdakwah.
- Mualim Muda 2 akan bersiaran mulai 31 Oktober 2026 di Astro Oasis dan Astro Prima, dengan barisan juri dan hos baru yang menarik.
Bintang Mualim Muda 2, Qamarul mengakui penyertaannya dalam program berkenaan tercetus selepas mendapat inspirasi daripada sahabat baiknya yang juga bekas peserta program berkenaan, Mualim Muda Aiman.
Menurut Qamarul, pengalaman melihat Aiman beraksi di atas pentas membuatkan dia terfikir bahawa dirinya juga mampu melakukan perkara sama sekiranya diberikan peluang.
“Pada tahun lalu, saya tidak berkesempatan untuk mengikuti persembahannya sejak awal pertandingan. Bagaimanapun, Aiman pernah membawa saya menyaksikan pertandingan Mualim Muda secara langsung ketika minggu separuh akhir.
“Apabila melihat persembahannya di atas pentas, timbul perasaan dalam diri saya untuk mencuba perkara yang sama. Saya terfikir, ‘Kalau dia boleh buat, takkan saya tak boleh?’” katanya kepada Gempak.
Berkongsi lanjut, Qamarul berkata Aiman merupakan antara individu yang banyak memberikan dorongan kepadanya untuk menyertai Mualim Muda 2 selepas musim kedua program itu diumumkan.
Malah, sahabatnya itu turut menggalakkan Qamarul supaya menghasilkan video penyertaan dan menghantarnya kepada pihak penganjur untuk mencuba nasib.
“Jadi, apabila musim kedua diumumkan, Aiman antara individu yang banyak memberikan dorongan kepada saya untuk mencuba nasib.
“Dia menggalakkan saya supaya menghasilkan dan memuat naik video penyertaan. Dia cakap, ‘Qamarul, cubalah muat naik video. Cubalah dahulu.’ Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk mencuba,” ujarnya.
Dalam pada itu, Qamarul menyifatkan Aiman bukan sekadar sahabat yang mendorongnya menyertai pertandingan berkenaan, malah individu yang banyak memberikan inspirasi dalam perjalanan menuntut ilmu dan menyampaikan dakwah kepada masyarakat.
“Saya memang sangat rapat dengan Aiman. Kami sudah berkawan sejak zaman sekolah menengah lagi. Kalau keluar minum kopi atau melepak pun, kami selalu bersama-sama. Dia memang banyak memberikan dorongan dan inspirasi kepada saya.
“Bukan sahaja dalam soal menyertai Mualim Muda, malah dia juga sering memberikan semangat kepada saya untuk menyambung pengajian dan terus menimba ilmu.
“Dalam bidang dakwah juga, Aiman banyak memberikan galakan kepada saya dan rakan-rakan lain supaya tidak berhenti menyampaikan ilmu kepada masyarakat.
“Dia sentiasa mengingatkan kami bahawa walaupun orang tidak mengenali siapa kita, itu bukan penghalang untuk terus berdakwah. Apa yang penting, kita berusaha menyebarkan ilmu dan memberikan manfaat kepada orang lain mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.
Mualim Muda 2 membawa kembali pendakwah bebas Dato’ Ustaz Kazim Elias, Dr. Kamilin Jamilin dan musim ini menampilkan wajah baharu, Ustazah Asni Masnor sebagai juri program.
Sementara itu, Ustaz Shahrizan Daud kembali sebagai Mursyid (Pengetua) bagi program ini, membimbing serta memberi motivasi kepada para peserta.
Musim ini juga turut menampilkan Atu Zero digandingkan bersama dengan penyanyi nasyid Fakhrul UNIC untuk mengemudi pentas sebagai hos program.
Program Mualim Muda akan bersiaran secara serentak di Astro Oasis (saluran 106) dan juga Astro Prima (saluran 105) bermula 31 Oktober 2026, Sabtu, juga boleh distrim melalui On Demand di Astro GO dan Sooka.