Pengacara dan pelakon, Elly Mazlien menitipkan kata-kata nasihat kepada finalis Mualim Muda agar tidak menjadikan kemenangan sebagai matlamat utama semata-mata, sebaliknya memberi fokus kepada impak dakwah yang disampaikan pada pentas akhir nanti.
Menurut Elly, seorang pendakwah seharusnya menggunakan pentas yang diberikan sebagai medium untuk menyampaikan mesej yang berkesan dan menyentuh hati pendengar.
“Pastikan buat yang terbaik. Macam saya katakan, pendakwah ini bukan hanya untuk kemenangan semata-mata, tetapi kemenangan sebenar adalah apabila mereka berjaya menyampaikan sesuatu yang sangat berkesan kepada semua pendengar yang hadir,” katanya.
Dalam masa sama, Elly turut mendoakan agar semua peserta dapat memberikan persembahan terbaik dengan memanfaatkan sepenuhnya peluang dan kelebihan yang dimiliki sebagai seorang pendakwah.
Tambah Elly, kejayaan sebenar dakwah adalah apabila setiap ceramah yang disampaikan mampu memberi kesan bukan sahaja kepada pendengar, malah kepada diri pendakwah itu sendiri.
“Saya doakan yang baik-baik untuk mereka. Bila ke pentas akhir nanti, buat sehabis daya, gunakan kuasa pentas itu sebaik mungkin. Gunakan kualiti yang ada sebagai pendakwah.
"Saya harap setiap ceramah yang mereka sampaikan dapat memberi kesan, bukan sahaja kepada orang lain, tetapi juga untuk diri kita sendiri,”ujarnya.