Sekilas
- Nabila Razali berkongsi pengalaman janggal apabila seorang individu memberi komen mengenai suaranya selepas minta bergambar dengannya.
- Individu tersebut kemudian memohon maaf secara peribadi dan menjelaskan tiada niat untuk mengguris hati Nabila.
- Nabila menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahkan individu itu kerana situasi telah diselesaikan dengan baik.
Penyanyi, Nabila Razali menyorot perhatian apabila berkongsi pengalamannya ketika didatangi seorang individu yang ingin bergambar dengannya.
Menerusi ciapan di Thread, pemilik nama Nur Nabila Mohd Razali ini mendakwa situasi yang pada awalnya seakan tiada masalah bertukar janggal apabila individu berkenaan memberikan komen mengenai suaranya sekaligus membuatkan dirinya tergamam.
“Tadi ada orang dtg nak amik gambar dengan saya. Si isteri datang kata, ‘Nabila Razali kan?’. Saya pun iya kan aje dan senyum.
“Selepas itu, dia kata, ‘Ha suami lah yang nampak tadi. Dia kata ada artis’. Si isteri pun tanya, ‘Artis yg mana?’. Sang suami pun jawab, ‘Ala Artis yang suara chipmunk
tu’.
“Dan si isteri ceritakan balik apa yang suami dia kata kat Bella dan ketawa kecil. Bella pun tengok je muka akak tu sebab terkejut,” kongsinya.
Walau bagaimanapun, pelantun lagu Peluang Kedua ini menegaskan bahawa dia tidak berkecil hati namun mengakui terkejut dengan situasi tersebut.
“Korangg, is this normal? Dah berkurang ke orang yang cakap berlapik ni?
“Sumpah tak marah, cuma petak lah kejap muka saya tadi,” tulisnya lagi.
Perkongsian itu kemudiannya menyorot perhatian warganet yang rata-ratanya meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap cara individu tersebut ketika berhadapan dengan Nabila.
Sementara itu, Nabila memaklumkan individu tersebut tampil membuat permohonan maaf kepada Nabila.
Menerusi tangkap layar mesej yang dikongsikan semula Nabila, individu tersebut menjelaskan bahawa perkara itu berlaku secara spontan tanpa sebarang niat untuk mengguriskan hati Nabila.
“Assalam Bella. Astagfirullahalazim, maaf sangat-sangat, saya takde intention langsung cakap macam tu.
“Maaf sebab spoiled your mood. Setulus ikhlas dari hati saya. Maaf atas kekhilafan saya tadi.
“Kami memang suka semua lagu-lagu awak. Semoga maju jaya dalam industri. Selamat hari raya maaf zahir batin,” tulis individu itu.
Susulan itu, Nabila meminta orang ramai untuk tidak terus menyalahkan individu berkenaan dan menegaskan bahawa situasi tersebut telah diselesaikan dengan baik.

Sumber: Threads