Sekilas
- Pelakon Nadhir Nasar memilih untuk tidak membuka akaun Threads kerana lebih selesa menggunakan aplikasi X dan mahu hadkan masa di media sosial.
- Beliau menegaskan kehidupan sebenar lebih penting daripada menghabiskan masa di skrin telefon dan tidak mahu terjebak dengan FOMO.
- Nadhir tidak menolak kemungkinan membuka akaun Threads pada masa depan jika perlu, terutamanya untuk urusan kerja.
Pelakon Nadhir Nasar menganggap tiada keperluan untuknya mewujudkan akaun Threads meskipun platform media sosial itu semakin popular dan menjadi pilihan ramai ketika ini.
Nadhir atau nama lengkapnya, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 30, berkata, dia lebih selesa menggunakan aplikasi X dan enggan menghabiskan terlalu banyak masa dengan pelbagai platform media sosial.
"Saya hanya aktif di X, saya tiada akaun Threads. Terlalu banyak aplikasi untuk saya guna. Sejujurnya dengan masa 24 jam yang ada, tidak cukup untuk saya.
"Saya tak ada banyak masa untuk bermain pelbagai aplikasi, kehidupan saya bukan hanya untuk skrin telefon, kehidupan saya di bumi nyata. Saya tak akan habiskan masa untuk perkara sebegitu. Saya bukan seorang FOMO,” katanya kepada Gempak.
Nadhir berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama terbaharunya, Bayangan Dendam yang berlangsung di Bukit Jalil, baru-baru ini.
Bagaimanapun, juara Hero Remaja 2021 itu tidak menolak kemungkinan untuk membuka akaun Threads pada masa hadapan sekiranya terdapat keperluan, khususnya bagi urusan kerja.
"Pada masa akan datang kita tidak tahu lah bagaimana. Sebab saya rasa fungsi Threads sama seperti X. Mungkin juga sebab saya generasi milenial yang bermula dengan X,” ujarnya
Dalam perkembangan lain, Nadhir membintangi drama terbaharu berjudul Bayangan Dendam bersama barisan pelakon lain termasuk Erysha Emyra, Sophia Albarakbah, Yusuf Bahrin dan Mia Nasir.