Sekilas
- Jefri Nichol menafikan dakwaan menggunakan wang bekas kekasihnya, Ameera Khan, dan menjelaskan dia mahu membayar semula tetapi Ameera enggan menerimanya.
- Jefri menegaskan dia tidak pernah meminta apa-apa daripada Ameera dan sentiasa bekerja keras untuk diri sendiri serta keluarga.
- Hubungan mereka yang bermula pada 2023 dikhabarkan berakhir pada November 2025 selepas kedua-duanya memadam foto bersama dan tidak lagi mengikuti akaun Instagram masing-masing.
Pelakon Indonesia, Jefri Nichol menafikan dakwaan kononnya dirinya telah menghabiskan wang bekas kekasihnya yang juga personaliti media sosial, Ameera Khan.
Menurut Jefri, dia sememangnya mahu membayar wang berkenaan namun Ameera tidak mahu menerimanya.
Menerusi beberapa hantaran di Threads, Jefri turut mendakwa Ameera masih belum boleh melupakan dirinya.
"Baby belum move on ke?
“Ketika itu saya masih di Dubai dan mahu beli sesuatu untuk dia. Kad kredit saya sudah mencapai had, jadi saya gunakan kad kredit dia terlebih dahulu.
“Saya mahu pindahkan semula wang kepadanya, tetapi dia tidak mahu menerimanya. Akhirnya, saya gantikan dengan gelang Van Cleef,” jelasnya.
Dalam pada itu, Jefri turut menegaskan bahawa dia tidak pernah meminta apa-apa daripada bekas buah hatinya itu.
Jefri berkata, sepanjang hidupnya dia bekerja keras untuk diri sendiri dan keluarga, selain sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada insan yang disayanginya.
“Untuk pengetahuan semua, saya tidak pernah meminta apa-apa, apatah lagi meminta untuk dibelanjakan.
“Saya sudah bekerja keras untuk diri sendiri dan keluarga. Saya juga sentiasa melakukan yang terbaik untuk menyediakan keperluan buat orang yang saya sayangi.
“Jadi, kalau ada sesiapa yang mengatakan sebaliknya, sama ada anda sedang menipu atau sebenarnya anda tidak mengenali saya,” tegasnya.

Terdahulu, tular rakaman video siaran langsung memaparkan Ameera mendedahkan dia menggunakan kad kredit sendiri untuk membayar bil setiap kali berjanji temu dengan Jefri.
Ameera dan Jefri dikatakan mula rapat sekitar tahun 2023 sebelum memutuskan untuk bercinta pada awal 2024.
Mereka juga kerap bergandingan dalam mempromosikan barangan dan pakaian mewah daripada jenama terkenal luar negara.
Hubungan cinta mereka bagaimanapun dikhabarkan berakhir pada November 2025 selepas kedua-duanya memadam foto bersama dan saling tidak mengikuti akaun Instagram masing-masing.