Skip to main content

Berita Tempatan

Neelofa Rasmi Pemegang Saham Majoriti TheNoor - "Saya Yakin Ada Potensi Besar Untuk ..."

lofa_thenoor

Sekilas

  • Neelofa kini menjadi pemegang saham majoriti dan mengambil alih pengurusan penuh syarikat teknologi gaya hidup Muslim, TheNoor, bermula Ogos 2024.
  • TheNoor mencatat lebih 4.33 juta muat turun dan digunakan di hampir 200 negara, dengan pelan penstrukturan semula serta pelancaran versi Pro dijangka sebelum hujung tahun ini.
  • Kerjasama strategik bersama konglomerat tempatan dan Proton bakal memperkukuh kedudukan TheNoor dalam ekosistem teknologi dan automotif Malaysia.

Usahawan dan figura terkenal, Neelofa secara rasmi mengesahkan kedudukannya sebagai pemegang saham majoriti dalam syarikat teknologi gaya hidup Muslim, TheNoor, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu yang lebih progresif dan berpotensi tinggi untuk platform tersebut.

Ditubuhkan pada tahun 2020, TheNoor berkembang pesat sebagai aplikasi gaya hidup Muslim dengan merekodkan lebih 4.33 juta muat turun serta sekitar 650,000 pengguna aktif harian. Aplikasi ini kini digunakan di hampir 200 negara, dengan pasaran utama termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, Indonesia, Arab Saudi, Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Hong Kong, menjadikannya antara aplikasi Muslim paling berpengaruh di rantau ini.

Sejak penubuhannya sehingga tahun 2024, Neelofa tidak terlibat secara langsung dalam operasi harian syarikat. Namun bermula Ogos 2024, beliau mengambil alih sepenuhnya pengurusan TheNoor tanpa penglibatan pengurusan terdahulu, dengan membawa visi baharu yang lebih strategik, telus dan menekankan pertumbuhan mampan.

Sejurus mengambil alih tampuk kepimpinan, Neelofa melaksanakan pelan penstrukturan semula secara menyeluruh. Langkah itu merangkumi pelantikan barisan pengurusan kanan yang berwibawa, kerjasama dengan syarikat pembangunan perisian bertaraf global, pembentukan jawatan baharu bagi memperkukuh struktur operasi, serta pembangunan semula aplikasi yang bakal memperkenalkan versi TheNoor Pro, dijangka dilancarkan sebelum hujung tahun ini.

TheNoor kini berada di ambang kerjasama strategik bersama sebuah konglomerat besar tempatan, termasuk projek integrasi bersama Proton. Menerusi kerjasama ini, aplikasi TheNoor dijangka dipasang secara terus dalam tujuh model kenderaan Proton, sekali gus melonjakkan kedudukan TheNoor dalam ekosistem teknologi dan automotif tempatan.

Selepas pengambilalihan pada Ogos 2024, Neelofa turut mengarahkan semakan forensik menyeluruh terhadap syarikat susulan penemuan beberapa isu berkaitan ketidakpatuhan tadbir urus dan dokumentasi. Perkara itu sebelum ini telah dibangkitkan oleh juruaudit syarikat namun tidak dijawab oleh pengurusan terdahulu bagi tahun kewangan 2023. 

Justeru, audit kewangan terperinci serta penstrukturan semula organisasi dalaman telah dilaksanakan bagi memastikan TheNoor beroperasi di atas landasan yang lebih kukuh, telus dan berdaya saing.

Neelofa menegaskan komitmennya untuk memastikan TheNoor terus berkembang sebagai platform gaya hidup Muslim global yang inovatif dan relevan.

“Saya yakin TheNoor mempunyai potensi yang amat besar untuk berkembang jauh ke hadapan. Fokus kami kini ialah membina semula asas yang kukuh, meningkatkan ketelusan dan memperkenalkan inovasi yang benar-benar memberi manfaat kepada komuniti Muslim di seluruh dunia,” katanya.

Must-Watch Video

Advertisement