Sekilas
- Ernie Zakri menerima Southeast Asia’s Music Icon Award 2026 di majlis Top Asia Corporate Ball 2026 di Kuala Lumpur sebagai pengiktirafan bakat dan sumbangannya dalam industri muzik.
- Pada 17 November, Ernie membuat persembahan lagu klasik Perancis, La Vie en Rose, bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dan turut memenangi anugerah Celebrity Entrepreneur of the Year di SEBA ASEAN Elites Edition 2025/2026.
- Ernie menganggap pencapaian ini sebagai rezeki dan dorongan untuk terus menghasilkan karya berkualiti serta memperkenalkan muzik Malaysia ke peringkat lebih luas.
November menjadi bulan cukup bermakna buat penyanyi popular, Ernie Zakri apabila mencatat tiga pencapaian membanggakan dalam tempoh hanya 10 hari.
Terbaharu, Ernie menerima pengiktirafan Southeast Asia’s Music Icon Award 2026 pada majlis Top Asia Corporate Ball 2026 yang berlangsung di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur pada malam Khamis.
Anugerah tersebut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap bakat vokal, kemampuan persembahan serta sumbangannya dalam industri muzik.
Kejayaan itu menyusuli dua pencapaian pada 17 November lalu apabila Ernie berpeluang menyampaikan lagu klasik Perancis, La Vie en Rose bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam majlis jamuan rasmi yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada malam hari yang sama, Ernie turut dinobatkan sebagai penerima anugerah Celebrity Entrepreneur of the Year di SEBA ASEAN Elites Edition 2025/2026.

Mengakui masih cuba menghadam segala pencapaian tersebut, Ernie menyifatkan setiap pengiktirafan yang diterimanya sebagai rezeki dan amanah besar dalam perjalanan bergelar anak seni.
“November ini menjadi antara bulan yang paling bermakna dalam hidup dan kerjaya saya.
“Dalam tempoh yang singkat, saya diberi peluang membuat persembahan bersama Presiden Perancis, menerima pengiktirafan di SEBA Awards dan kini Southeast Asia’s Music Icon Award.
“Saya masih cuba menghadam setiap pengalaman ini. Saya anggap semuanya sebagai rezeki dan amanah besar — bukan sekadar tentang anugerah, tetapi peluang untuk terus berkembang sebagai anak seni Malaysia,” katanya.
Bagi Ernie, pengiktirafan tersebut turut menjadi dorongan untuk terus menghasilkan karya dan persembahan berkualiti, selain memperkenalkan muzik Malaysia kepada khalayak yang lebih luas.
Sokongan keluarga, pasukan pengurusan, rakan industri dan peminat juga menjadi sebahagian penting dalam perjalanan kerjaya seninya.
Menerusi pengiktirafan terbaharu itu, Ernie kini menyertai barisan personaliti hiburan yang pernah diraikan di platform berkenaan, termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir, Dato’ Sri Rossa, Afgan, Ruth Sahanaya dan Alan Tam.
Memasuki tahun ke-11 penganjurannya, Top Asia Corporate Ball merupakan acara anjuran RHA Media yang menghimpunkan tokoh korporat, pemimpin perniagaan serta personaliti daripada pelbagai industri di Asia.