Datuk Awie mengumumkan kemasukan dua anggota baharu Wings bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Eddie dan Black.
Dua pemuzik yang disifatkan memenuhi piawaian daripada tiga anggota Wings iaitu Awie sendiri, Edrie Hashim dan Sham adalah Ilham Ishak atau Am dan Rodzane Mohamed atau Pae.
Am yang berasal dari Johor Bahru mengisi posisi bes selepas menjalani uji bakat sementara Pae yang pernah bermain dalam banyak kumpulan rock tanah air akan mengetuk dram Wings dilantik terus.
“Kami perkenalkan dua anggota baharu Wings iaitu Am dan Pae akan bersama saya, Edrie dan Sham meneruskan perjuangan era baharu Wings selepas satu sayap kami patah,” ujar Wings pada sidang akhbar yang berlangsung di Padi House, Lalaport, Kuala Lumpur siang tadi.
Pae malah dengan bersemangat memberitahu: “Saya akan menjadi Pae. Bukan Black. Bukan Jojet.”
Kedua-dua anggota baharu ini akan secara rasmi juga menandatangi kontrak bersama Produksi Rumah Merah di atas pentas Konsert Wings Orang Kita yang dijadual berlangsung pada 30 Januari 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai hala tuju kumpulan itu, Awie mendedahkan Wings kini dalam fasa membentuk 'gelombang baharu' dan bakal memasuki studio untuk rakaman album terbaharu pada Ramadan akan datang.
Demi memantapkan struktur muzik mereka, Wings bersepakat melantik gitaris, Edrie Hashim sebagai pengarah muzik yang bakal menentukan selera muzik untuk album dan konsert akan datang.
“Kami bersetuju melantik ketua yang akan menjaga aspek muzik dan membuka sesuatu yang baharu, lebih elok dan murni. Ini adalah strategi penting untuk membentuk empayar Wings pada masa hadapan,” jelasnya lagi.
Pada Oktober tahun lalu, peminat dikejutkan dengan pengumuman pengunduran dua anggota asal Wings iaitu pemain dram, Black dan pemain bes, Eddie daripada kumpulan tersebut.