Paramore melalui vokalisnya, Hayley Williams menjadi band terkini yang melahirkan solidariti buat Palestin dengan menyertai kempen No Music For Genocide, lapor The New Arab.
No Music For Genocide merupakan kempen yang digerakkan oleh barisan pemuzik sebagai tanda boikot terhadap Israel.
Advertisement
Inisiatif tersebut dilancarkan sejak beberapa minggu lalu dengan menyaksikan syarikat rakaman dan pemuzik menarik katalog lagu mereka di platform penstriman di Israel.
Ia dilakukan sebagai pernyataan bahawa budaya tidak perlu normalisasi keganasan yang dilakukan dan tidak bersifat kemanusiaan.
Meski tiada kenyataan rasmi yang dikeluarkan secara peribadi mengenai solidariti yang diberikan terhadap Palestin, Paramore sebelum ini menunjukkan empati dengan melancarkan cenderahati sokongan kepada Medical Aid for Palestinians (MAP) serta menggalakkan peminat menderma ke organisasi Save the Children yang bekerja di Gaza.
Sebelum Paramore, penyanyi eksentrik Bjork juga telah menyertai kempen sama.
Karya Bjork bagaimanapun masih boleh didapati menerusi platform YouTube dan Bandcamp.
Sehingga kini lebih 400 karyawan seni telah menyertai kempen ini. Mereka termasuklah Massive Attack, Fontaines D.C., Amyl and the Sniffers dan Kneecap.