Sekilas
- Filem animasi Papa Zola The Movie mencatat kutipan box office sebanyak RM65 juta sejak tayangan hari pertama.
- Filem ini menggabungkan elemen kekeluargaan, humor, dan nilai murni yang dekat dengan masyarakat Malaysia.
- Papa Zola The Movie masih ditayangkan di Malaysia dan Indonesia, serta akan ditayangkan di India, Vietnam, dan Timur Tengah pada April 2026.
Filem Papa Zola The Movie terus membuktikan filem animasi anak Malaysia mendapat sambutan hangat selepas berjaya mencatat kutipan box office sebanyak RM65 Juta.
Berita gembira itu maklumkan menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram rasmi @papapipizola pada Jumaat.
“Jutaan terima kasih atas sokongan semua,” maklum hantaran itu.
Untuk pengetahuan sejak tayangan hari pertama, Papa Zola The Movie konsisten menarik penonton pelbagai lapisan usia dengan penceritaan yang dekat di hati, elemen kekeluargaan yang kuat serta humor yang menghiburkan.
Lebih membanggakan, Papa Zola The Movie bukan sekadar sebuah hiburan, tetapi turut membawa nilai murni, mesej kekeluargaan dan identiti tempatan yang relevan dengan masyarakat Malaysia.
Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Tanpa diduga, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency).
Namun keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Papa Zola bersama Mama Zila perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.
Filem Papa Zola The Movie masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Indonesia.
Filem ini juga akan muncul di layar perak di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.