Ringkasan AI
- Mew mengadakan konsert terakhir mereka di The Zepp Kuala Lumpur pada 12 November sebagai sebahagian daripada siri jelajah 'The Farewell Shows' sebelum bubar selepas 30 tahun.
- Vokalis utama Jonas Bjerre mengumumkan keputusan meninggalkan kumpulan untuk meneroka projek baharu, sambil memberi semangat kepada anggota lain meneruskan perjalanan mereka.
- Konsert di Malaysia menampilkan suasana sederhana dengan tema warna hitam dan persembahan lagu-lagu ikonik seperti Satellites, Special, dan Comforting Sounds.
- Mew turut memperkenalkan kolaborasi bersama penyanyi Malaysia, Yuna, yang menyanyikan lagu Symmetry secara harmoni bersama kumpulan.
Adalah hal yang sangat aneh untuk hadir ke sebuah konsert demi mengucapkan selamat tinggal kepada pemuzik kegemaran yang telah mengisi hari-hari anda sejak tiga dekad.
Perasaan juga bercampur baur ; teruja kerana dapat menjadi saksi nyata persembahan Mew, grup yang mahu bubar selepas 30 tahun bersama; namun pada masa yang sama sebak kerana setelah konsert dengan judul Mew ‘The Farewell Shows’ - Malaysia 2025 yang berlangsung di The Zepp Kuala Lumpur, 12 November lalu adalah yang terakhir kalinya.

Aneh juga rasanya, Mew yang mahu mengucapkan selamat tinggal, mereka jugalah yang menjadi penghibur dan merayakan peminat mereka sebagai pertemuan terakhir.
Peminat atau frengers tidak lagi akan dapat melihat Jonas Bjerre (vokal utama dan gitar), Johan Wohlert (bes) dan Silas Jørgensen (dram) bersama lagi menjelajah dunia, membawa muzik mereka secara langsung di depan mata.
Mew bubar setelah tamat siri jelajah MEW “The Farewell Shows” yang dimulai di Malaysia dan akan menemui peminat mereka antaranya di Tokyo, Jepun dan Bangkok, Thailand.
Si vokalis dengan vokal unik dan punya magis tersendiri, Bjerre nekad dengan keputusan meninggalkan Mew setelah 30 tahun bersama. Bjerre mahu meneroka projek baharu dan memberi semangat kepada anggota Mew yang lain untuk meneruskan perjalanan mereka.
“Ini adalah persembahan terakhir kami. Ya, sedih tapi tidak boleh terlalu sedih. Terima kasih Malaysia,” ucap Bjerre disambut beragam perasaan dalam kalangan peminat tegar yang hadir.
The Farewell Shows” - Malaysia 2025 yang dibawa Soundscape Records & Production bukan sebuah persembahan biasa.

Ini adalah sebuah perayaan mati rasa. Ya perayaan yang pada awalnya teruja, perlahan-lahan menjadi melankolik dan membunuh rasa untuk berpesta.
Ironi, The Farewell Shows” - Malaysia 2025 yang merupakan terakhir untuk 30 tahun kembara seni pemuzik asal Denmark ini berlangsung dalam suasana sangat sederhana.
Mew tampil keseluruhan dengan warna hitam ; yang selalu menjadi simbolisme kesedihan juga keanggunan, misteri dan kekuatan. Hanya Instrumen gitar antaranya berwarna biru dan emas ‘bergabung’ dengan permainan lampu memberi atmosfera selamat tinggal seperti yang diusung.
Mereka mengalunkan muzik yang ‘bingit’ namun mendamaikan lewat kreatifnya ‘mengait seni’ menerusi tembang seperti Satellites, Special, Chinaberrt Tree, Ay Ay Ay, Then I Run, Curcuitry of the Wolf, Am I Wry? No, The Zoo Keeper’s Boy, Snow Brigade, 156, Apocalypso dan I Should Have Been a Tsin-Tsi (For You yang membuat The Zepp KL ‘pecah’.

Lebih ‘pecah’ dan mengejutkan, Mew memperkenalkan rakan kolaborasi di tengah-tengah set persembahan.
“Kami bertemu beberapa tahun lalu. Dia memiliki vokal yang sangat indah,” ujar Bjerre memperkenalkan Yuna lalu mendendangkan Symmetry dengan cukup harmoni.
Antara Repertoar lain yang turut dimainkan termasuk Gliding, She Spider, Rows dan Introducing Palace Players juga meninggalkan kesan tersendiri buat peminat.

Namun lagu yang terakhir dimainkan Mew di atas panggung adalah paling ‘membunuh’ dan membuat semua mati rasa. Gelap, bingit tapi sepi di tangkai hati.
Dalam gelap persembahan, ramai yang sebak dan menangis senyap-senyap saat konsert ditutup dengan lagu kebangsaan Mew, Comforting Sounds ; meski menjerit dan melambaikan tangan sebagai tanda ‘hormat’ terhadap salah satu karya ikonik itu dimainkan buat kali terakhir.
Perayaan Mew The Farewell Shows” - Malaysia 2025 diakhiri dengan duka cita saat Mew meninggalkan pentas ; juga dengan sangat sederhana tanpa jeritan tanpa tangisan tetapi terlalu mengesankan.
