Skip to main content

Artis Tempatan

“Pergilah Nak, Jaga Ziana…” – Azwan Ali Terkesan Pemergian Bapa Ziana & Anuar Zain… Kongsi Kenangan Pernah Minta Izin ‘Dating’

azwan ali

Pengacara terkenal, Azwan Ali mengakui dirinya turut terkesan dengan pemergian bapa kepada penyanyi popular, Ziana Zain dan Anuar Zain iaitu Allahyarham Zain Abdullah pada 26 Ogos lalu.
 

Azwan atau nama sebenarnya Mohamed Azwan Ali, 59, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang bapa yang penyayang dan cukup istimewa kerana membesarkan dua figura seni tanah air yang berbakat besar.
 

Advertisement

“Pak Zain seorang ayahanda yang hebat, dia seperti ikon. Saya pun pernah mengenali dia, jadi semasa saya dapat tahu dia sudah tiada, hati saya sangat tersentuh.
 

“Pada mulanya saya ingatkan itu hanyalah khabar angin daripada netizen. Kemudian saya sendiri menghantar WhatsApp kepada Ziana dan dia mengesahkan bahawa bapanya sudah tiada.
 

“Saya cakap dekat Ziana, tak mengapa… Allah sayangkan dia (Pak Zain),” katanya ketika ditemui pada sidang media drama bersiri Hello Bam Bam di KopiHut Sri Rampai semalam.
 

Menurut Azwan, momen bersama Allahyarham juga meninggalkan kenangan mendalam buat dirinya, khususnya ketika dia pernah meminta izin untuk keluar dengan Ziana suatu ketika dahulu.
 

“Momen yang paling saya tidak dapat lupakan adalah ketika saya ajak Ziana ‘dating’. Saya dapatlah merasa minta izin dekat Pak Zain.
 

“Pak Zain kata, ‘pergilah nak, jaga Ziana.’ Itu akan menjadi kenangan untuk saya kerana ia tak akan mungkin berulang.
 

“Bila saya bergurau pun kadang-kala nama Pak Zain yang naik. Bila dia tiada, gurau senda pun tak ada juga. Kita kena menghormati dia dengan sedekahkan Al-Fatihah kepadanya,” katanya lagi.
 

Sementara itu, Azwan memberitahu, hatinya tergerak untuk berkongsi berita duka itu kepada orang ramai kerana dia sendiri pernah rapat dengan arwah.
 

Dalam perkembangan lain, Azwan turut memegang watak sebagai Deddy dalam drama Hello Bam Bam yang bakal ditayangkan di aplikasi TikTok tidak lama lagi. Drama berkenaan turut dibintangi oleh Syafie Naswip, Maria Farida, Sofi Jikan, Kodi Rasheed dan Abang Aji.
 

Terdahulu, Allahyarham Zain, 87, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kayangan Heights, Shah Alam. Difahamkan, arwah menghidap kanser prostat sejak Disember tahun lalu sebelum kesihatannya semakin merosot.



 

Must-Watch Video