Anggota kumpulan nasyid UNIC, Dr. Fitri Haris nafi cuba menimbulkan sensasi selepas berkongsi mengenai pengalamannya yang pernah diganggu oleh seorang ustaz dan seorang individu bergelar datuk.
Menurut Fitri atau nama lengkapnya, Mohamad Fitri Mohamad Haris, 41, hantaran tersebut dibuat sebagai langkah mempertahankan diri serta satu bentuk kesedaran agar lebih ramai mangsa gangguan seumpama itu tampil bersuara.
"Perkongsian saya itu niatnya bukan untuk viral tetapi hanya untuk mempertahankan diri. Bila saya berkongsi saya berharap orang yang menganggu saya itu tidak lagi berbuat demikian kerana kami bercakap seperti biasa cuma kadang-kadang mesej diberikan agak keterlaluan.
"Saya rasa tidak salah dengan perkongsian itu kerana sekadar satu kesedaran kepada masyarakat bagi orang cakna dan untuk lebih ramai mangsa bersuara," katanya kepada Gempak.
Fitri berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Countdown KITA 2026 yang diadakan di Studio 1, Astro Bukit Jalil pada malam Selasa.
Dalam pada itu, Fitri memberitahu apa yang mengejutkan selepas perkongsian itu dibuat dia masih menerima gangguan sehingga kini.
"Apa yang mengejutkan selepas saya berkongsi perkongsian itu, saya masih lagi diganggu sehingga sekarang. Saya menerima mesej ada yang memberi amaran, ugutan, mencarut dan ada yang nak ngorat saya, hantar mesej lucah.
"Mereka menghantar mesej di WhatsApp nombor bisnes saya. Memang sangat-sangat berani," ujarnya.
Meskipun diganggu, Fitri tidak berhasrat mendedahkan identiti mana-mana individu terlibat.
"Bagi saya tiada keperluan untuk saya dedahkan identiti mereka kerana itu antara saya dan dia. Perkara ini adalah satu aib, mungkin keluarganya tidak tahu atau dia tersalah langkah dan ada peluang untuk berubah.
"Selagi dia tidak sampai ke tahap sentuhan fizikal, saya rasa perkongsian dibuat itu sebagai satu amaran jugalah tetapi kalau berlaku lagi sudah tentu akan buat laporan polis atas kesalahan gangguan seksual," jelasnya.
Mengulas lanjut, Fitri berkata situasi yang dihadapi masih dapat dikawal, namun dia tetap berhati-hati dan berharap individu terbabit menyedari kesalahan mereka.
Terdahulu, Fitri mendedahkan pernah diganggu golongan gay oleh seorang ustaz dan individu bergelar Datuk susulan isu penahanan 201 pengunjung dalam serbuan ke atas sebuah spa di Jalan Raja Laut baru-baru ini.
Kata Fitri, pengalaman itu membuatkan dia tidak terkejut apabila ada golongan profesional dan berjawatan terlibat dalam salah laku moral.