Sekilas
- Pempengaruh Ameera Khan menjelaskan bahawa kucing peliharaannya, Darling, hanya diberi coklat dalam kuantiti sangat sedikit dan berada dalam keadaan baik.
- Perkongsian Ameera yang memaparkan kucing dan coklat mendapat pelbagai reaksi netizen, termasuk kebimbangan tentang kesan toksik coklat kepada haiwan peliharaan.
- Ada netizen yang mempertahankan Ameera dengan mengatakan dia lebih tahu keadaan kucingnya dan menasihatkan orang ramai supaya tidak cepat membuat tuduhan penderaan haiwan.
Pempengaruh Ameera Khan tampil memberi penjelasan selepas perkongsiannya yang memaparkan kucing peliharaan dan ‘choco jar’ mencetuskan kebimbangan ramai di media sosial.
Menerusi ruangan komen, segelintir netizen menegur tindakan tersebut kerana bimbang kandungan coklat boleh memudaratkan haiwan peliharaan termasuk kucing.
“Ini penderaan haiwan kan? Kucing tak boleh makan coklat, ia boleh membunuh mereka.
“Coklat tak boleh dimakan kucing dan anjing, ia toksik. Kalau tak boleh didik diri untuk jadi pemilik haiwan yang bertanggungjawab, jangan bela,” antara komen netizen.
Bagaimanapun, ada juga netizen mempertahankan Ameera dengan beranggapan dia lebih mengetahui keadaan kucing peliharaannya sendiri dan meminta orang ramai tidak terlalu cepat membuat tuduhan.
“Selagi dia tak bunuh atau pukul kucing dia, sudahlah. Dia lebih tahu tentang kucing dia sebab dia yang bela, bukan awak yang keluarkan duit beli makanan kucing dia. Boleh bertenang tak? Semua benda nak dianggap penderaan haiwan,” tulis individu tersebut.
Tidak berdiam diri, Ameera kemudian tampil menjelaskan menerusi saluran Instagram bahawa kucingnya yang diberi nama sebagai Darling hanya mengambil coklat dalam kuantiti sangat sedikit dan berada dalam keadaan baik.
“Saya faham kenapa semua risau tentang Darling tetapi dia cuma makan sedikit sangat coklat dan Alhamdulillah, dia okey.
“Sejak kecil dia memang suka coklat, pelik juga. Dia suka ‘icing’ juga tetapi jangan risau, bukan selalu saya beri.” katanya.
