Sekilas
- Penyanyi Aina Abdul mengenang pemergian pengarah muzik Lee Sze Wan sebagai satu kehilangan besar dalam industri muzik tempatan.
- Sze Wan pernah menjadi penerbit lagu dalam album pertama Aina dan pengarah muzik untuk konsert minggu ini RTM.
- Berita kematian Sze Wan disahkan oleh penyanyi Misha Omar melalui Instagram, tanpa butiran lanjut mengenai punca kematian.
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul menyifatkan pemergian pengarah muzik, Sze Wan sebagai satu kehilangan besar apatah lagi mereka pernah bekerjasama dalam beberapa projek muzik sebelum ini.
Menerusi hantaran di Instagram Stories, Aina mengenang Sze Wan sebagai insan yang meninggalkan banyak memori bermakna dalam perjalanan kerjayanya.
“Sempat bekerja dengan Sze Wan untuk beberapa kali. Gone too soon indeed. You will be deeply missed, dear Sze Wan. Thank you for the memories,” tulisnya.
Menurut Aina, Sze Wan turut mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan muziknya apabila pernah terlibat sebagai penerbit untuk salah satu lagu daripada album pertamanya iaitu Jadi Ajar Aku.
Malah, Sze Wan juga pernah menjadi pengarah muzik untuk persembahan Aina dalam konsert minggu ini RTM.
“Saya sangat bertuah kerana pernah diberi peluang untuk beliau menerbitkan salah satu lagu daripada album pertama saya.
"Dia juga pernah jadi pengarah muzik untuk saya di konsert minggu ini RTM," kongsi pelantun lagu Sadis itu.
Terdahulu, pengarah muzik terkenal, Lee Sze Wan yang banyak terlibat dan menghasilkan karya penyanyi tempatan seperti Anuar Zain dan Misha Omar dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir pada Ahad.
Berita duka tersebut disampaikan oleh Misha menerusi perbualan di Instagram.
Misha, 43, bagaimanapun tidak memperincikan butiran kematian wanita yang telah banyak bekerjasama dan mencurahkan kreativitinya kepada beliau.