Sekilas
- PU Riz berkongsi pengalaman pertama menyampaikan ceramah di hadapan khalayak yang keseluruhannya terdiri daripada masyarakat India di Madrasah India Kampung Pandan.
- Beliau memuji kesungguhan masyarakat B40 dalam meningkatkan pendidikan dan taraf hidup serta menyokong usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam program kemasyarakatan berkaitan pendidikan dan peluang pekerjaan.
- PU Riz berharap lebih banyak inisiatif seperti ini dapat dilaksanakan untuk membantu pelbagai komuniti, termasuk golongan OKU, mendapatkan akses ilmu dan kemahiran.
Pengalaman menyampaikan ceramah di hadapan khalayak yang keseluruhannya terdiri daripada masyarakat India memberikan perspektif berbeza buat pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz.
Menghadiri sebuah program di Madrasah India Kampung Pandan baru baru ini, PU Riz mengakui ia menjadi pengalaman pertama buat dirinya apabila berhadapan dengan khalayak yang berbeza daripada kebiasaan.
“Biasa ‘crowd’ yang dengar ceramah saya orang Melayu. Tapi buat kali pertama yang semuanya, saya ulang, semuanya bangsa India,” katanya.

Apa yang lebih menarik perhatian PU Riz adalah kesungguhan masyarakat yang hadir untuk mendapatkan ilmu, selain usaha meningkatkan pendidikan dan taraf kehidupan terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40).
Dalam masa sama, PU Riz turut menyambut baik usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam menyokong program kemasyarakatan yang memberi tumpuan kepada pendidikan, pembangunan kemahiran serta peluang pekerjaan.
Menurutnya, usaha sebegitu penting supaya peluang mendapatkan ilmu dan membina kehidupan lebih baik dapat dinikmati masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Malah, bantuan seumpama itu tidak hanya tertumpu kepada satu komuniti sahaja.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan penganjur, sebelum ini geran turut disalurkan bagi pelaksanaan program membabitkan ceramah dan peluang pekerjaan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan yang disertai sekitar 60 hingga 70 peserta.
PU Riz berharap lebih banyak usaha sedemikian dapat dilaksanakan bagi membantu masyarakat khususnya golongan B40 memperoleh akses kepada pendidikan dan kemahiran.
“Kita doakan semua, tidak kira bangsa, khususnya di negara ini memperoleh satu kekuatan ilmu yang tertinggi, insya-Allah,” katanya.
