Sekilas
- Pengarah filem Duyung: Legenda Aurora, Datuk Profesor Dr. A. Razak Mohaideen, menjelaskan poster tular filem itu hanyalah gimik promosi untuk tarik perhatian penonton.
- Razak menggunakan pendekatan 'reverse psychology' dengan poster kontroversi supaya orang ramai bercakap dan lebih alert terhadap filem tersebut.
- Beliau tidak ambil hati dengan kecaman kerana memahami poster dibuat oleh jabatan pemasaran, bukan pengarah, dan konsep ini biasa dalam industri perfileman.
Pengarah filem Duyung: Legenda Aurora, Datuk Profesor Dr. A. Razak Mohaideen memaklumkan poster filem tersebut yang tular sehingga menjadi bualan netizen adalah gimik semata-mata.
Ujar Razak, pendekatan itu digunakan adalah sebagai promosi untuk menarik perhatian penonton ke pawagam.
“Poster itu memang gimik. Kita mahukan penonton lebih ‘alert’.
“Kita mahu rakyat Malaysia menonton dan kita nak orang ramai bercakap mengenai filem ini. Jadi, kni adalah sebahagian daripada gimik. Bad news is good news.
“Bila kita buat poster begitu, yang nak puji memang satu dua orang saja. Yang nak kecam memang ramai. Biar mereka tengok, kita buat ‘reverse’ psikologi pula,” katanya.
Razak berkongsi perkara tersebut ketika sesi sidang media filem tersebut bertempat di GSC, Lalaport, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, pengarah berusia 60 tahun ini memaklumkan dia tidak makan hati dengan segala kecaman kerana perkara itu di luar bidang kuasanha sebagai pengarah.
“Saya tak makan hati sebab kalau orang faham pasal konsep industri bisnes ini, mereka akan tahu yang poster bukan pengarah buat. Pengarah hanya buat filem.
“Saya tak ambil hati sebab kita tahu ilmu tu. Orang yang faham pasal bisnes perfileman dia tahu.
“Kalau kat Hollywood atau Bollywood pun sama. Dia ada marketing department yang akan buat perkara itu.
“Kita pun tak boleh jadi sebodoh orang yang bercakap tu kan. Jadi, lebih baik kita diam saja sebab orang yang faham dan berilmu, dia akan faham lah maksud sebenar di sebalik itu.
“Orang yang tak berilmu pula akan mengiyakan benda-benda itu. Jadi, sebenarnya kebodohan ditunjuk oleh orang yang tak berilmu lah,” ujarnya.
Terdahulu, poster rasmi filem Duyung: Legenda Aurora mendapat respon pelbagai daripada warganet yang rata-ratanya berpendapat kualiti poster tersebut boleh ditambah baik lagi.