Pendakwah bebas, PU Syed menegur keras trend segelintir artis yang memilih untuk menanggalkan hijab selepas berhijab, sambil menyifatkan ia sebagai satu bentuk kesesatan yang tidak wajar dijadikan tontonan peminat.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial, PU Syed menekankan bahawa sekiranya benar kenyataan kontroversi artis terbabit datang daripadanya, ia jelas membawa mesej yang menyeleweng daripada landasan agama.
Advertisement
“Trend ‘berundur’ daripada berhijab kepada membuka hijab bukanlah suatu yang baik untuk ditonjolkan kepada peminat²nya. Istilah untuk ‘jadi diri sendiri’ hanyalah mainan syaitan yang berjaya membisikkan hasutannya kepada seseorang,” katanya.
PU Syed turut melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan industri hiburan tanah air yang menurutnya semakin 'tenat' dengan budaya hiburan yang melalaikan.
“Dalam isu cabut tudung bagi artis di atas, pasti ayahmu akan tersangat sedih di barzakh sana. Nak jadi diri sendiri atau nak dekat dengan Allah bukan dengan jalan melakukan maksiat kepadaNya,” ujarnya.
PU Syed menutup kenyataannya dengan doa agar masyarakat diberi kekuatan untuk istiqamah dalam perintah Allah.
“Ya Allah, berikanlah petunjukMu kepada kami dan bantulah kami untuk sabar dalam melaksanakan segala perintahMu dan meninggalkan segala laranganMu,” tulisnya.