Sekilas
- Raja Azura berkongsi bahawa tiga anaknya ingin berjumpa dengan bekas suami, Adzmin Osman, selepas lebih 10 tahun tidak bertemu.
- Azura menegaskan dia tidak menghalang anak-anak berjumpa bapa mereka dan mengajar mereka untuk menghormatinya tanpa dendam.
- Mahkamah meluluskan permohonan pelaksanaan tuntutan nafkah anak yang difailkan Azura terhadap Adzmin yang didakwa culas membayar sejak 15 tahun lalu.
Pelakon dan pengacara popular, Raja Azura memaklumkan tiga anaknya meluahkan hasrat untuk berjumpa dengan bekas suami iaitu Adzmin Osman selepas sekian lama tidak berjumpa.
Dakwa Azura yang mesra disapa Kak Engku, kali terakhir bekas suaminya berjumpa dengan tiga anak adalah sekitar sepuluh tahun yang lalu.
“Anak-anak saya tak pernah jumpa bapa mereka. Lepas kami berpisah adalah berjumpa, kali terakhir waktu anak sulung saya berusia 13 tahun.
“Mereka (anak-anak) selalu cakap, ‘Mama kalau ayah datang mahkamah boleh tak kami berjumpa?’. Mereka nak beritahu dan tunjuk kepada ayah mereka yang mereka sudah dewasa,” katanya Gempak.
Walau bagaimanapun, Raja Azura tidak pernah menanam rasa benci mahupun dendam terhadap bekas suami dalam diri anak-anaknya.
“Saya tak pernah halang pun anak-anak kalau nak jumpa bapa dia. Saya juga tak pernah mengajar anak meminta anak-anak membenci bapa mereka.
“Saya selalu mengajar anak-anak untuk sentiasa menghormati bapa mereka walau apa juga keadaan,” katanya lagi.
Sehubungan dengan itu, bekas penyampai radio Sinar FM ini menggesa bekas suaminya untuk tampil memberi kerjasama dalam urusan tuntutan nafkah agar ketiga-tiga anak dapat berjumpa dengannya.
“Jadi, Adzmin Osman, tolong bagi ruang dan peluang kepada anak awak. Pertimbangkan, fikir-fikirkan, rendah serta buang ego jauh-jauh. Sejauh mana pun ego kita, perkara itu tak akan dapat selesaikan masalah.
“Saya nak bagitahu lagi kepada Adzmin Osman, anak-anak itu jugalah yang akan menjaga dia kalau dia sakit nanti. Saya juga ada anak perempuan, satu hari nak kahwin mestilah nak bapa dia yang mewalikannya.
“Datanglah hadir, munculkan diri dan jalankan tanggungjawab dengan baik,” ujarnya.
Bagi prosiding hari ini, mahkamah telah meluluskan semula permohonan pelaksanaan penghakiman berkenaan tuntutan nafkah anak serta idah pada 2010 yang difailkan Raja Azura.
Pada 10 September lalu, Raja Azura atau mesra disapa Kak Engku memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya daripada Adzmin, yang didakwa culas membayar mengikut perintah mahkamah sejak perceraian mereka 15 tahun lalu.
Raja Azura dan Adzmin yang merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, mendirikan rumah tangga pada 2001 dan bercerai pada 28 September 2010.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 24, Megat Luqman Hakim Adzmin, 23, dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 21.