Sekilas
- Akmal Asyraf tekankan pentingnya pendidikan untuk penggiat seni bagi menghasilkan karya berkualiti.
- Pelakon KUDRAT 1968 ini jadikan pelakon luar negara sebagai contoh yang berbakat dan berpendidikan tinggi.
- Filem KUDRAT 1968: High Council yang dibintangi Akmal akan ditayangkan di pawagam mulai 29 Oktober.
Pelakon, Akmal Asyraf menyifatkan pendidikan sebagai perkara penting terutama sekali buat individu yang memilih untuk menceburkan diri dalam bidang seni.
Menurut Akmal, dia percaya penggiat seni juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan bagi memastikan mereka dapat menghasilkan karya yang bagus.
Malah, pelakon filem KUDRAT 1968: High Council ini menjadikan pelakon luar negara sebagai contoh kerana mereka bukan sahaja berbakat malah turut berpendidikan tinggi.
“Bagi saya, pendidikan itu sangat-sangat penting. Saya utamakan pendidikan dalam hidup saya.
“Saya melihat industri perfileman di negara luar, mereka belajar. Jadi, saya rasa sebagai seorang penggiat seni, saya perlu belajar jika mahu melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin,” katanya kepada Gempak.
Tambah Akmal, meskipun kejayaan dalam bidang seni tidak semestinya bergantung kepada kelulusan akademik namun dia percaya ilmu yang diperoleh menerusi pendidikan boleh dimanfaatkan untuk membantu orang lain serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan seni.
“Tak semestinya sebab bidang seni ini, kita tak perlu belajar pun untuk berjaya. Tapi itu rezeki masing-masing.
“Kita juga boleh usahakan dan kalau kita belajar, kita boleh ajar orang lain serta sebarkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa seni ini penting,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Akmal bakal tampil menerusi filem KUDRAT 1968: High Council.
Selain Akmal, filem arahan Zulaikha Zakaria ini turut dibintangi beberapa pelakon hebat lain seperti Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Dai Fuad, Chech Harit, Evertts Gomes dan ramai lagi.
KUDRAT 1968: High Council bakal menemui peminat di pawagam bermula 29 Oktober.