Sekilas
- Badut Gendong adalah filem horror action yang segar dan berdiri sendiri dalam Universe Qodrat, sesuai untuk penonton baru dan lama.
- Filem ini menggabungkan elemen seram dengan mesej sosial tentang ketidakadilan dan perjuangan hidup, disampaikan melalui penceritaan yang kemas dan elemen gore yang tepat.
- Marthino Lio memukau sebagai Darso dengan lakonan yang meyakinkan, manakala produksi MAGMA Entertainment menampilkan visual dan sinematografi berkualiti tinggi.
Dalam lambakan filem seram yang sering bergantung kepada formula sama, Badut Gendong hadir sebagai sebuah naskhah yang terasa cukup segar dan berbeza.
Filem ini membawakan genre horror action dan diterbitkan secara kolaborasi antara MAGMA Entertainment, Komet Productions, Legacy Pictures, Skop Productions, Astro Shaw, Enotech, Applause, Virtuelines Entertainment, VMS Studio, Caravan Studio, serta Alunan. Badut Gendong merupakan naskhah ketiga dalam francais ini selepas tayangan Qodrat (2022) dan Qodrat 2 (2025).
Menariknya, filem arahan Charles Gozali ini masih mudah difahami meskipun oleh penonton yang tidak pernah mengikuti filem-filem lain dalam Universe Qodrat.
Malah, Badut Gendong berdiri kukuh sebagai sebuah filem tersendiri yang berjaya memperkenalkan watak antihero Darso yang bakal memainkan peranan penting dalam universe tersebut, tanpa membuatkan penonton baharu berasa tercicir.

Pada permukaan, ia mungkin kelihatan seperti sebuah filem seram tentang sosok badut yang dirasuk.
Namun apabila diteliti lebih mendalam, filem ini bukan sekadar menjual elemen seram, tetapi berjaya menyampaikan mesej sosial tentang ketidakadilan, kemiskinan dan perjuangan hidup yang mungkin tidak pernah difahami oleh masyarakat luar.

Dari segi penceritaan, Badut Gendong bergerak dengan baik tanpa terasa terlalu perlahan. Skripnya juga kemas dengan perkembangan plot yang mudah diikuti.
Dari sudut seram pula, elemen gore yang digunakan berada pada kadar yang tepat.
Tidak keterlaluan sehingga mengganggu penceritaan, tetapi cukup untuk membuatkan penonton berasa tidak selesa dan terkesan dengan setiap adegan yang dipaparkan.

Satu lagi pujian besar harus diberikan kepada pelakon utama, Marthino Lio.
Marthino berjaya memberikan nyawa kepada Darso dengan sangat meyakinkan. Tidak hairanlah walaupun pengarah pernah mempertimbangkan pelakon lain untuk membawakan karakter tersebut, akhirnya watak itu kembali kepada Marthino.
Cabarannya bukan sedikit. Selain perlu menampilkan loghat Jawa yang konsisten, dia juga banyak beraksi dengan mata tertutup sambil mengekspresikan emosi melalui bahasa tubuh yang sangat aktif.
Itu bukan sesuatu yang mudah dilakukan.

Secara keseluruhan, MAGMA Entertainment sekali lagi membuktikan kemampuan mereka menghasilkan filem seram berkualiti tinggi dengan visual yang kemas, sinematografi yang menarik dan suasana yang sesuai dengan dunia gelap yang ingin dibangunkan.
Lebih menarik, Badut Gendong bukan sekadar memperkenalkan seorang antagonis baharu kepada universe tersebut, malah memberi penonton peluang memahami sisi kemanusiaan di sebalik watak berkenaan sebelum pertembungannya dengan Ustaz Qodrat pada naskhah akan datang.
Dan selepas mengetahui latar belakangnya, mungkin ada yang akan melihat Darso bukan sekadar sebagai penjahat, tetapi seorang manusia yang akhirnya tewas kepada penderitaan hidupnya sendiri.
Mungkin benar seperti yang pernah diungkapkan dalam filem ini, hidup kadangkala memang tidak adil.
Rating: 8.5/10
Wajib tonton.