Sekilas
- Ismail Izzani berkongsi wajah kekasih barunya dan cerita perjalanan ke Thailand untuk meluahkan perasaan melalui media sosial.
- Dia mengucapkan terima kasih kepada kekasihnya kerana mengajar erti disayangi, dihormati, dan membantu dirinya untuk move on dari masa lalu.
- Ismail menyifatkan kehadiran wanita itu sebagai sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya.
Penyanyi, Ismail Izzani menyorot perhatian netizen selepas berkongsi kisah cintanya bersama seorang wanita Thailand di sosial media.
Menerusi perkongsian tersebut, Ismail turut meluahkan rasa bahagia selain mengimbas kembali keberaniannya terbang dari Malaydsia ke Thailand semata-mata untuk meluahkan perasaannya kepada wanita berkenaan.
“Ia satu keputusan yang agak gila untuk saya terbang jauh dari KL ke Thailand hanya untuk mengejutkan awak dan meluahkan perasaan saya tentang hubungan kita.
“Saya tertanya-tanya juga, bagaimana kalau sebenarnya kita tidak berada di halaman yang sama? Tapi alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya melalui perjalanan yang sangat indah di Thailand bersama awak, sambil awak menunjukkan kepada saya bagaimana rasanya menjadi sebahagian daripada kehidupan awak,” tulisnya.
Menerusi hantaran di TikTok, Ismail berkongsi beberapa keping gambar mereka berdua bersama termasuk mengimbas kenangan menyambut ramadan bersama wanita itu.
Dalam pada itu, pelantun lagu Luar Biasa tersebut turut berterima kasih kepada kekasihnya kerana membuatkan dia memahami erti disayangi dan dihormati.
Ismail berkata, kehadiran wanita itu turut membantu dirinya menampilkan sisi terbaik serta belajar untuk bergerak ke hadapan tanpa terus dibelenggu kisah silam.
“Terima kasih kerana menunjukkan kepada saya bagaimana rasanya untuk disayangi dan dihormati. Awak mengeluarkan sisi terbaik dalam diri saya dan muncul ketika saya cuba untuk move on agar tidak lagi hidup dalam masa lalu.
“Mungkin saya tidak cukup kerap mengatakannya, tetapi saya sentiasa bangga dengan awak. Awak telah menunjukkan kepada saya banyak perkara indah dalam kehidupan,” katanya.
Lebih romantis, Ismail turut menyifatkan kehadiran kekasihnya sebagai sesuatu yang membawa ketenangan dalam hidup.
“Terima kasih kerana hadir dalam hidup saya. Mencintai awak terasa begitu tenang,” ujarnya.