Skip to main content

Hiburan

“Saya dapat Lihat Kegembiraan Terpancar Pada Wajah Setiap Ahli Keluarga” - Didi Astillah

Didi Astillah

Sekilas

  • Didi Astillah, adik kepada Bella Astillah, meluahkan rasa gembira dan lega selepas keputusan pembebasan tunang kakaknya, Syed Saddiq, diumumkan.
  • Beliau berkongsi pengalaman emosional keluarga dan rakan-rakan yang hadir di mahkamah serta sokongan moral yang diberikan sepanjang proses perundangan.
  • Didi juga menegaskan bahawa doa dan sokongan peminat menjadi sumber kekuatan utama bagi Syed Saddiq sepanjang menghadapi kes tersebut.
Advertisement

Adik kepada selebriti Bella Astillah, Didi Astillah menyifatkan keputusan pembebasan tunang kakaknya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai detik penuh kegembiraan dan kelegaan buat seluruh ahli keluarga selepas melalui proses perundangan yang panjang.

 

Advertisement

Didi berkata, suasana selepas keputusan itu diumumkan cukup menyentuh perasaan apabila kegembiraan jelas terpancar pada wajah ahli keluarga serta rakan-rakan yang selama ini memberikan sokongan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan.

 

“Alhamdulillah, seperti yang kita tahu kes ini sudah berjalan dalam tempoh yang sangat lama. Hari ini kami berasa sangat tersentuh dan terharu, selain sangat gembira dengan keputusan yang diperoleh.

 

“Didi dapat melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah setiap ahli keluarga. Itu perkara paling utama yang perlu diketengahkan hari ini kerana ada ibu yang gembira, rakan-rakan yang mungkin berjuang bersama-sama juga gembira dan ahli keluarga lain turut berkongsi perasaan sama,” katanya.

 

Menurut Didi, pengalaman berada sendiri di dalam mahkamah dan mendengar prosiding berkenaan merupakan sesuatu yang baharu buat dirinya serta keluarga.

 

Katanya, suasana penuh emosi dapat dirasakan sebaik keputusan diumumkan sehingga hampir semua individu yang berada di dalam mahkamah menitiskan air mata.

 

“Sebenarnya, ini kali pertama Didi melihat kes seperti ini dan masuk sendiri ke dalam mahkamah untuk mendengar prosiding. Bagi Didi dan keluarga, pengalaman ini merupakan sesuatu yang baharu.

 

“Hampir semua orang yang berada di dalam tadi menitiskan air mata. Apa yang boleh Didi katakan, kami sangat terharu dan gembira dengan keputusan hari ini. Alhamdulillah,” katanya.

 

Mengulas perjalanan kes berkenaan, Didi berkata, walaupun dirinya tidak mengikuti proses tersebut sejak awal, dia memahami perjalanan yang dilalui Syed Saddiq dan keluarganya bukan sesuatu yang mudah.

 

Malah, katanya, dia bersama keluarga turut hadir ke mahkamah sejak tahun lalu bagi memberikan sokongan moral kepada Syed Saddiq serta keluarganya.

 

“Walaupun Didi tidak mengikuti perkara ini sejak awal, Didi tahu perjalanan yang dilalui agak sukar. Sejak tahun lalu, kami juga pernah datang ke mahkamah dan menemani mereka untuk memberikan sokongan.

 

“Didi dan keluarga berada di sini kerana mahu memberikan sokongan. Abang Saddiq dan keluarganya juga sering menyebut Didi dan keluarga, jadi kami saling memberikan sokongan terutama ketika berhadapan perkara seperti ini.

 

“Alhamdulillah, hari ini keputusan yang positif dan baik telah diperoleh, iaitu keputusan yang diinginkan oleh semua pihak. Didi hanya berasa sangat gembira,” katanya.

 

Dalam pada itu, Didi percaya doa serta sokongan daripada orang ramai turut menjadi sumber kekuatan sepanjang Syed Saddiq berdepan proses perundangan berkenaan.

 

Katanya, ramai pihak termasuk peminat tidak pernah berhenti memberikan kata-kata semangat, doa serta harapan positif kepada Syed Saddiq.

 

“Sangat ramai yang mendoakan perkara yang baik-baik, memberikan semangat dan menyampaikan harapan serta kata-kata positif. Daripada apa yang Didi lihat, semua sokongan itu datang daripada para peminat mereka.

 

“Namun, orang yang Didi lihat paling kuat semangatnya ialah Abang Saddiq sendiri. Didi dapat melihat ketabahan dan semangatnya sepanjang melalui perjalanan ini,” katanya.

 

Didi berkata, sepanjang mengenali Syed Saddiq, Ahli Parlimen Muar itu merupakan seorang yang menghormati orang lebih tua, gemar melakukan kebaikan dan sentiasa memberikan pengaruh positif kepada individu di sekelilingnya.

 

“Mustahil untuk Didi mengatakan tidak. Berdasarkan apa yang Didi tahu dan sepanjang mengenali Abang Saddiq, dia seorang yang menghormati orang tua, sentiasa melakukan kebaikan dan memberikan tenaga serta pengaruh yang positif kepada orang di sekelilingnya.

 

“Didi rasa setiap kebaikan yang dilakukannya mungkin mendapat balasan melalui apa yang berlaku kepadanya. Hari ini, dia menerima kembali balasan tersebut dalam bentuk yang baik. Alhamdulillah,” katanya. 

Anda mungkin berminat dengan

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

Must Watch Video

Advertisement