Sekilas
- Amira Othman menganggap kecaman selepas berkahwin dengan Fattah Amin sebagai asam garam dalam kehidupan anak seni.
- Dia dan suami memilih untuk tidak memberi perhatian kepada komen negatif demi menjaga ketenangan mental.
- Amira menegaskan mereka hanya fokus berbuat baik dan menghargai sokongan daripada peminat.
Pelbagai kecaman yang diterima terutama selepas berkahwin dengan pelakon Fattah Amin, penyanyi Amira Othman menganggap ia merupakan asam garam dalam kehidupan anak seni.
Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman menyedari bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang.
“Sebenarnya Threads saya tak berapa aktif sebab saya memang kurang baca komen. Tapi benda baik atau tidak baik, itu adalah asam garam.
“Menjadi diri saya, Fattah Amin dan saya rasa semua la selebriti melalui macam-macam ragam, komen, pandangan… bagi saya, ia satu perkara biasa la.
“Bila kita menjadi seseorang yang dipertontonkan tu pasti ada banyak pendapat. Yang baik kita ambil, yang tidak baik tu saya tak dapat memuaskan hati semua orang.
“Pada saya, asalkan kita berbuat baik pada semua orang. Yang lain itu, terpulang la kepada rujukan orang lain ke,” katanya kepada Gempak.
Kata Amira lagi, dia dan suaminya memilih untuk tidak memberi perhatian kepada perkara negatif kerana mahu menjalani kehidupan yang tenang.
“Saya dengan Fattah dari dulu lagi, kami sama-sama setuju untuk tidak beri perhatian kepada perkara-perkara yang negatif. Pada saya, ianya akan penatkan mental kita.
“Sebab kalau orang itu tak suka, tetap tak suka. Saya buat apa pun, benda baik pun… tetap dia tak suka. Untuk buat dia suka kita tu, bukan urusan kita.
“Nak buat orang suka kita tu bukan tanggungjawab kita. Pada saya, asalkan kita tak buat perkara yang tidak baik. Suka atau tidak, itu harus kami akur.
“Saya dan Fattah ingin hidup tenang saja. Yang tak suka itu, mudah-mudahan yang baik-baik untuk dia. Yang penting, kita hargai (orang) yang suka,” ujarnya lagi.