Sekilas
- Aedy Ashraf melihat pengalaman sukar yang dilalui Amir Ahnaf sebagai proses penting untuk bangkit semula dan mencapai kejayaan.
- Aedy percaya setiap orang perlu melalui titik terendah sebelum berjaya dan sudah memberi nasihat peribadi kepada Amir.
- Walaupun tidak mengiyakan tindakan Amir, Aedy yakin sahabatnya itu akan terus berjaya kerana bakat dan personalitinya yang hebat.
Pelakon dan pengarah, Aedy Ashraf menganggap apa yang sedang dilalui sahabatnya, aktor Amir Ahnaf ketika ini merupakan sebahagian daripada proses untuk dirinya bangkit semula.
Aedy atau nama lengkapnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 33, berpendapat, seseorang yang ingin mencapai kejayaan perlu terlebih dahulu merasai pengalaman berada di titik terendah dalam hidup.
"Saya ada bercakap dengan Amir secara peribadi kerana dia sudah saya anggap seperti adik sendiri. Kami mempunyai hubungan yang sangat akrab.
"Saya percaya setiap manusia yang ingin berjaya, dia perlu rasa bagaimana berada di bawah atau jatuh. Tidak boleh terus naik.
"Saya percaya, ini adalah fasa yang perlu Amir lalui untuk dia belajar daripada kesilapan dan terus terbang tinggi selepas ini,” katanya kepada Gempak.
Aedy berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan stor baharu jenama aksesori lelaki CERUTTI 1881 yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya, pada Selasa.
Tidak mengiyakan tindakan yang dilakukan Amir, namun penerbit filem Tarung: Unforgiven itu percaya setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.
Kata Aedy, dia sudah memberikan nasihat secara peribadi kepada Amir dan berharap sahabatnya itu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku.
"Saya juga yakin Amir akan berjaya dan terbang tinggi kerana dia mempunyai bakat yang sangat bagus serta memiliki personaliti yang hebat.
"Setiap manusia ada kesilapan yang mereka lakukan dalam hidup. Saya tidak mengiyakan tindakan yang sudah dilakukan Amir, tetapi sebagai sahabat saya sudah beri nasihat.
"Saya mahu melihat semua rakan-rakan di sekeliling terus berjaya. Kami kawan-kawan juga melihat kerja keras Amir untuk berjaya,” ujarnya.