Sekilas
- TJ, pelakon dan pengamal seni pertahanan diri dari Sabah, pernah mengalami buli dan penipuan sebelum bangkit dengan membuka perniagaan Kungfu Dojo serta fokus pada kerjaya lakonan.
- Beliau menguasai pelbagai seni bela diri sejak kecil dan terinspirasi oleh pelakon aksi antarabangsa seperti Donnie Yen dan Jackie Chan untuk mengembangkan kerjaya lakonan aksi di peringkat nasional dan antarabangsa.
- Sebagai juara Bachelor of Malaysia 2025, TJ kini giat membuat persiapan untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dengan latihan intensif dan peningkatan kemahiran komunikasi.
Pernah menjadi mangsa buli dan beberapa kali terperangkap dalam skim penipuan, pelakon dan pengamal seni pertahanan diri, TJ membuktikan ketahanan mental dan fizikalnya biarpun baru berusia 27 tahun.
TJ atau nama sebenarnya Lee Tian Jiang mengakui perjalanan hidupnya pernah diuji dengan pelbagai pancaroba dan anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu menjadikan pengalaman pahit tersebut sebagai titik kebangkitan diri.
“Semua itu mendewasakan saya dan paling penting mengajar saya supaya lebih berhati-hati, kuat dari segi mental dan berwaspada dalam mempercayai orang. Saya pernah dibuli dan menjadi mangsa ‘scam’.
“Justeru, seni pertahanan diri menjadi medium terpenting buat saya untuk ‘melepas geram’ dan bangkit daripada pengalaman pahit itu. Saya juga wujudkan program kesedaran mengenainya,” katanya.
Sambil menunggu masa dan rezeki untuk menyerlah dalam dunia lakonan arus perdana, TJ teruja apabila satu demi satu impiannya mula menjadi kenyataan, termasuk membuka perniagaan Kungfu Dojo Sabah.
Baginya, impian besar adalah menjadi individu serba boleh sebagai pelakon, pakar seni pertahanan diri dan ahli perniagaan. Setiap bidang tersebut menuntut komitmen tinggi serta keazaman berterusan untuk terus memajukan diri.
Namun buat masa ini, TJ mahu memberi fokus utama kepada kerjaya lakonan dan mencipta nama di peringkat nasional. Demi merealisasikan impian itu, dia bersedia berpindah dari Sabah ke Semenanjung.
Menurutnya, dia memasang impian untuk bekerjasama dengan ramai pengarah hebat tempatan termasuk Adrian Teh, Shuhaimi Baba, Datuk Yusof Haslam, Michael Ang, Syamsul Yusof dan Tan Chui Mui.


“Sasaran saya bukan sekadar menjadi aktor terbaik di Malaysia, tetapi ingin membawa nama negara ke seluruh dunia. Saya mahu tunjukkan bahawa Malaysia juga mampu menghasilkan filem aksi hebat dan pelakon aksi yang berkualiti.
“Donnie Yen dan Jason Statham adalah inspirasi terbesar saya. Filem-filem lakonan mereka sentiasa membangkitkan semangat. Saya juga mendambakan naskhah yang membawa mesej besar dan nilai berguna,” katanya.
Minat TJ terhadap seni pertahanan diri mula berputik sejak kecil apabila terinspirasi daripada aktor legenda antarabangsa seperti Jackie Chan, Jet Li dan Donnie Yen.

Bagi TJ, kelebihan menguasai pelbagai disiplin seni bela diri termasuk kungfu, taekwondo, karate, muay thai, wing chun dan seni pertahanan diri ekstrem menjadi nilai tambah unik dalam kerjaya lakonannya.
“Kembara seni pertahanan diri saya bermula sejak kecil. Bapa saya sering membawa saya menonton filem aksi dan membeli DVD klasik Hong Kong yang memberi kesan besar kepada diri saya.
“Kali pertama menonton filem aksi, rasa kagum itu terus memuncak. Minat semakin bercambah apabila menonton kartun adiwira sehingga membuatkan saya ingin memiliki kemahiran bertarung.
“Daripada situlah saya meminta bapa mengajar saya kerana dia merupakan sifu tarian singa dan kemahiran kungfu adalah asas penting. Pada usia 10 tahun, saya mula mempelajari seni ini,” katanya.
Sejak terlibat dalam dunia lakonan, TJ berjaya memperkukuh profilnya menerusi pembabitan dalam beberapa filem arus perdana termasuk Gayong, Paskal Air Force The Movie, Money Games dan The Fist Of Legend.
Dalam perkembangan lain, pemenang pertandingan berprestij Bachelor of Malaysia 2025 (BOM) itu kini giat membuat persiapan rapi bagi mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Mengakui dirinya masih ‘hijau’ ketika mula menyertai pertandingan berkenaan, TJ bertekad membuktikan keupayaannya untuk mengharumkan nama negara.
“Pada awalnya saya terkejut apabila ditawarkan menyertai BOM. Pengurus saya nampak potensi besar walaupun saya sendiri ragu-ragu kerana kurang arif tentang dunia ‘pageant’.
“Oleh sebab rasa tidak bersedia, saya gandakan usaha berlatih ‘catwalk’, gaya dan kemahiran soal jawab. Dengan persiapan hanya tiga bulan, usaha itu membuahkan hasil apabila saya dinobatkan juara.
“Kini latihan lebih intensif dijalankan untuk persiapan antarabangsa. Saya fokus pada diet demi fizikal terbaik serta mengambil kelas bahasa Inggeris bagi meningkatkan kemahiran komunikasi,” katanya.
