Sekilas
- Datuk Remy Ishak berkongsi pengalaman menggunakan amalan mandi garam untuk buang aura negatif dan atasi penyakit ain.
- Beliau menjelaskan garam membantu mengurangkan ion negatif dalam badan secara saintifik, sama ada melalui minum, rasa atau mandi.
- Remy juga menyatakan media sosial boleh menyebabkan tekanan dan ion negatif, jadi mandi garam menjadi rutin untuk pulihkan emosi dan tenaga.
Pernah melalui pengalaman berdepan penyakit ain, pelakon Datuk Remy Ishak berkongsi mengenai amalan mandi menggunakan garam untuk membuang aura negatif dalam tubuhnya.
Pelakon berusia 43 tahun itu berkata garam secara saintifik sememangnya anyak membantu tidak kira dengan cara minum, rasa atau mandi.
"Saya bercakap berdasarkan pengalaman sebab saya pun pernah melalui pengalaman begitu iaitu penyakit ain.
"Kalau kita berada dalam dunia yang terdedah kepada umum, perkara ini, secara saintifiknya, kalau kita ada banyak ion negatif dalam badan, garam memang banyak membantu sama ada kamu minum, rasa, atau mandi.
"Garam itu perlu dalam badan dan secara saintifik pun terbukti," katanya kepada Gempak.
Kata pemilik nama Mohammad Zalimei Ishak ini lagi, laman sosial juga menjadi salah satu punca badan terkena benda negatif.
"Itulah amalan saya, maksudnya bila ada rasa tertekan. Sebab kadang-kadang saya tak nafikan, di media sosial kita terkena dengan benda-benda negatif atau bila kita keluar, orang melihat gambar, bercakap, bersangka tak baik.
"Itu mendatangkan ion negatif juga kepada diri kita, kan? Kadang kita rasa, tak tahu kenapa rasa tak selesa dan tiba-tiba emosi rasa tak menentu. Maksudnya, ada sesuatu tak kena.
"Cara terbaik, mandi garam. Rutin saya bergantung juga kepada keperluan. Kalau nak lebih baik, tiga hari berturut-turut," katanya.
Remy mendapat ilmu mengenai amalan ini selepas berinteraksi dengan pakar psikologi ketika berdepan kemurungan dalam fasa pandemik Covid-19 sebelum ini.
Sebelum ini, Remy mencadangkan kepada pelakon Zara Zya untuk mandi air garam bagi membuang ion atau aura negatif dalam badan.