Sekilas
- Elfira Loy menafikan mempunyai pembantu rumah dan menguruskan sendiri dua anaknya tanpa bantuan pengasuh.
- Pengalaman lima kali tukar pembantu rumah membuatkan Elfira lebih selesa menjaga anak sendiri sambil mengatur jadual dengan baik.
- Aktiviti riadah seperti bermain pickleball adalah masa rehat Elfira selepas hantar anak ke sekolah, bukan untuk elak tanggungjawab sebagai ibu.
Pelakon dan usahawan, Elfira Loy, menafikan dakwaan segelintir pihak yang menyangka dia memiliki pembantu rumah untuk menguruskan anak-anak berikutan kelibatnya yang dilihat aktif melakukan aktiviti riadah seperti bermain pickleball.
Menurut Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Ahmad Sabri, 31, dia sendiri menguruskan dua cahaya matanya tanpa bantuan pengasuh atau pembantu.
“Selamat datang ke rumah saya, tengok mana ada pembantu rumah. Semua orang nak, siapa tidak mahu,” katanya.
Ibu kepada dua anak itu menjelaskan, dia mampu menguruskan anak-anak sepenuhnya tanpa pengasuh atau pembantu rumah hasil daripada sokongan dan tunjuk ajar komuniti ibu-ibu lain.
“Dulu saya rasa sangat susah. Rasa tak patut buat kerja rumah sendirian, sepatutnya kena ada pembantu atau suami pun perlu sama-sama tolong.
“Apabila bergaul dengan kelompok lain terutama suri rumah, kita baru sedar dugaan menguruskan anak-anak adalah normal. Sebenarnya sentiasa ada cara untuk buat rutin ini jadi menyeronokkan.” katanya.
Katanya, pengalaman terdahulu berdepan lima kali pertukaran pembantu rumah membuatkan dirinya lebih selesa menguruskan anak sendiri.
“Saya mampu (jaga anak) alhamdulillah, saya pernah lima kali tukar pembantu rumah. Ada yang tak kena macam anak saya tidak okey.
“Bila saya serahkan kerja kepada pembantu rumah untuk pergi penggambaran, dia tidak mahu teruskan. Macam mana dengan jadual yang saya dah ‘lock’?
“Jadi lagi susah kena bayar pihak ketiga untuk jaga anak saya. Saya rasa okey saja, lebih 10 tahun dalam industri, apa salahnya saya berhenti jaga anak,” katanya lagi.
Elfira menjelaskan, aktiviti riadah yang dilakukannya bukan alasan untuk melarikan diri daripada tanggungjawab sebagai ibu, sebaliknya sebagai ruang rehat selepas menghantar anak ke sekolah.
“Sebab itu saya tak terlalu fokus atau beri 100 peratus jadi ibu, lepas hantar anak saya nak masa relaks. Saya pergi main picklerball sekejap. Asalkan jadual itu tepat, semua kerja ada jadual jadi mudah,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Elfira pernah berasa rendah diri apabila membandingkan dirinya dengan kehidupan wanita lain yang mempunyai pembantu rumah.
Ramai yang memuji semangat dan kecekalan isteri kepada Faris Khairul Anuar itu yang dianggap contoh wanita moden berdikari.
Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Rayyan Khalaf, 6, dan Nur Aria Mikayla, 4 tahun.