Skip to main content

Hiburan

“Saya Tak Percaya Pada Filler Song…” - Ernie Zakri

“Saya Tak Percaya Pada Filler Song…” - Ernie Zakri

Sekilas

  • Ernie Zakri percaya album tidak perlu ada 10 hingga 15 lagu untuk dianggap lengkap, sebaliknya setiap lagu harus mempunyai peranan tersendiri.
  • Perubahan industri muzik dan platform penstriman digital memberi kebebasan kepada pendengar memilih lagu tanpa perlu ikut keseluruhan album.
  • Ernie menegaskan tiada lagu filler dalam album ATMA kerana setiap trek membentuk satu jalan cerita yang lengkap dan bermakna.
Advertisement

Penyanyi, Ernie Zakri percaya sesebuah album tidak semestinya perlu memuatkan 10 hingga 15 lagu untuk dianggap lengkap. 

Menurut Ernie, perubahan landskap industri muzik serta kemunculan platform penstriman digital memberikan pendengar lebih banyak kebebasan untuk memilih lagu yang ingin didengari tanpa perlu mengikuti keseluruhan album. 

Advertisement

Oleh itu, Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, memilih untuk menghasilkan album ATMA dengan lima lagu yang disusun sebagai satu jalan cerita selain memastikan setiap lagu mempunyai peranan tersendiri tanpa sekadar menjadi pelengkap jumlah keseluruhan album.

“Apabila kita menjadi seorang penyanyi, kita juga diberi kebebasan untuk berkarya. Mungkin zaman dahulu, khususnya zaman penyanyi senior saya, apabila keluar album dengan 12 atau 15 lagu, itu standard industri muzik ketika itu.

“Apabila kita membeli kaset dan sebagainya, mereka tak boleh terus melangkau ke lagu seterusnya. Mereka perlu mendengar keseluruhan karya.

Advertisement

“Sekarang, orang mempunyai banyak pilihan. Kadang-kadang kita keluarkan album dengan 10 lagu atau lapan lagu, tetapi pendengar akan memilih apa yang mereka mahu dengar,” katanya kepada Gempak. 

Ernie juga berkata pengalaman menghasilkan album sebelum ini turut mengubah perspektifnya terhadap konsep lagu pengisi atau filler song yang sering dikaitkan dengan sesebuah album.

Baginya, setiap lagu yang dihasilkan oleh komposer seharusnya diberikan penghargaan sewajarnya dan tidak dilabel sebagai karya yang sekadar memenuhi kuota.

“Saya tak percaya pada filler song. Ada sesetengah orang bertanya, ‘Oh, lagu ini tak ada lagu filler ke?’ Pada saya, itu satu perkara yang salah kerana kenapa perlu ada lagu filler dalam album? Bagaimana pula perasaan komposer apabila kita beritahu, ‘Ini cuma lagu filler, untuk cukupkan kuota sahaja?’

“Saya pernah ada beberapa lagu filler dalam album. Kita rasa macam tak adil apabila sudah menyanyikan lagu dengan baik, tetapi akhirnya orang tak tahu pun lagu itu. 

“Tiada filler dalam album ATMA kerana daripada trek pertama hingga trek ketujuh, semuanya merupakan sebahagian daripada jalan cerita ATMA. Jadi, rugi kalau mereka melangkau trek ketiga dan keempat kerana cerita itu tidak lengkap. Ibarat membaca sebuah buku, kalau kita melangkau beberapa bahagian, kita mungkin tak dapat memahami keseluruhan ceritanya,” jelasnya.

Mengulas mengenai pandangan sesebuah album perlu mempunyai sekurang-kurangnya 10 lagu, Ernie berpendapat tiada peraturan khusus yang perlu dipatuhi oleh setiap penyanyi dalam berkarya.

“Kenapa tidak boleh ada lima lagu, tujuh lagu atau kita hasilkan EP sahaja? Itu satu seni. Jangan kita letakkan batasan atau peraturan kerana kreativiti perlu diberikan kebebasan dan kelonggaran.

“Ada orang percaya album mereka perlu ada 10 lagu dan itu terpulang kepada mereka. Kita kena percaya pada hasil kerja sendiri. Bagi saya, kalau ATMA ada tujuh lagu, tujuhlah. Kalau lima lagu utama, lima lagu utamalah,” ujarnya. 

Terdahulu, ada seorang individu mempertikai pengahasilan album ATMA oleh Ernie Zakri yang bagi tidak lengkap sebagai album penuh kerana mempunyai lima hingga tujuh lagu sahaja.

Anda mungkin berminat dengan

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

Must Watch Video

Advertisement