Penyanyi Amira Othman mengakui dia tidak pernah mempunyai teman lelaki sepanjang zaman persekolahan kerana belajar di sekolah perempuan.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna menerusi satu rakaman video yang tular memaparkan pelakon Fattah Amin sedang merakam Amira ketika menunjukkan bangunan sekolah lama penyanyi tersebut.
Advertisement
“Ya, ini sekolah perempuan.
“Saya memang tak pernah ada teman lelaki, yang ramai bekas kekasih itu Fattah. Saya tiada bekas kekasih.
“Sebab semua perempuan. Saya nak jaga supaya awak rasa special,” katanya.
Rakaman berdurasi pendek itu mencuri perhatian ramai apabila Amira secara bersahaja mendedahkan perkara tersebut dalam nada bergurau dengan Fattah.
Terdahulu, desas-desus mengenai status hubungan pelakon, Fattah Amin akhirnya terjawab apabila dia dan penyanyi Amira Othman mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga pada 14 September depan.
Tarikh istimewa itu dipilih bersempena ulang tahun kelahiran Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin yang bakal genap berusia 35 tahun.
Sebelum ini, gosip mengenai Fattah bakal menamatkan zaman duda hangat diperkatakan di media sosial selepas seorang pengguna Threads mendakwa mendapat maklumat tersebut daripada sumber dipercayai.
Untuk rekod, Fattah pernah berkahwin dengan Fazura pada 27 November 2017 sebelum bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun.
Sumber: TikTok