Pelakon, Sophia Albarakbah, tampil menjelaskan mengenai babak berendam dalam tab mandi yang dilakonkannya menerusi filem seram terbaharu, Tembuni Berdarah.
Menurut Sophia, babak itu tidak wajar dijadikan isu kerana ia dibuat dengan penuh profesionalisme serta bersesuaian dengan jalan cerita.
Advertisement
“Saya pakai baju masa jayakan babak dalam bathtub (tab mandi) itu. Ia tidak sepatutnya ada isu pun.
“Saya lakukan babak itu kerana ia penting untuk menunjukkan kejadian paranormal yang berlaku pada watak Dr Izara yang saya lakonkan,” katanya.
Sophia menegaskan, babak tersebut tidak mempunyai elemen keterlaluan seperti yang mungkin disangka sesetengah pihak.
“Saya tak rasa orang akan persoalkan sebab tidak seksi pun. Lagi pun saya pakai baju di dalam, cuma ditutupi buih sahaja.
“Kalau ada babak yang terlalu keterlaluan dan tidak sesuai untuk tontonan rakyat Malaysia, saya sendiri tidak akan terima,” jelasnya.
Tambahnya lagi, penonton sepatutnya memberi tumpuan kepada aspek seram yang diketengahkan dalam filem arahan Dr Ahmad Idham itu.
“Sebenarnya orang kena fokus pada darah dan hantu dalam babak itu,” katanya sambil tersenyum.
Dalam pada itu, Sophia turut berkongsi pengalaman melakonkan adegan paling mencabar sepanjang penggambaran.
“Babak paling susah ialah ketika berada di kubur kerana itu adalah kubur sebenar. Saya pula kena menjerit dan jayakan adegan itu pada waktu malam.
“Selain itu, babak kena baca mantera pun satu perkara yang saya tak pernah buat sebelum ini,” katanya.
Filem Tembuni Berdarah bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 25 September ini.